Busking Roadtour Mabul 2022

Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah melalui Unit Kebudayaan yang diketuai oleh En. Noradzely bin Amat Darmawi dan Jawatankuasa Kesenian Pelajar (JKP) telah menjalankan projek busking di Kafetaria Kolej Mabul. Projek ini merupakan siri Busking Roadtour yang terakhir yang di jalankan pada semester ini. Ianya digerakkan dan dilaksanakan khas oleh persatuan pelajar iaitu Jawatankuasa Kesenian Pelajar (JKP).

Projek bersiri Busking Roadtour atau lebih dikenali sebagai Brotour ini telah melabuhkan tirai bagi semester ini pada 6 Julai 2022 yang bertempat di Kafetaria Kolej Mabul. Projek ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Team JKP berawal dari perancangan projek, persiapan teknikal serta kebajikan setiap ahli Team JKP.

Antara objektif utama projek ini adalah untuk membimbing dan berkongsi ilmu dalam pengurusan acara, pengendalian dan pengaturcaraan teknikal yang betul dalam sesebuah persembahan. Secara tidak langsung, pelajar dapat mempelajari dan mempraktikkan ilmu yang diperoleh di masa akan datang. Semoga dengan adanya projek ini jurang pengetahuan dalam kalangan pelajar dapat dipecahkan dan seterusnya menjadi pemangkin semangat bagi mereka untuk terus bergiat aktif dalam aktiviti kampus.