Negeri Sembilan, 6 Disember 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang melalui Business Society pada 6 Disember 2024 telah berjaya menganjurkan program “Business Discovery Program” yang berlangsung di Kilang Ajinomoto, Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Program ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal kepada mahasiswa Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) mengenai operasi syarikat korporat, strategi perniagaan, dan peluang kerjaya dalam industri. Lawatan interaktif dan pembelajaran industri ini telah disertai oleh 75 orang pelajar mahasiswa semester akhir bersama penasihat kelab. Mereka diberi peluang untuk meneroka galeri pelawat Ajinomoto serta koridor produksi kilang, memberikan pengalaman langsung tentang operasi perniagaan moden. Aktiviti ini turut disertai sesi demonstrasi produk, ceramah kerjaya, kuiz interaktif, dan sesi soal jawab. Melalui slot ceramah kerjaya, wakil Ajinomoto, Encik Azmi yang turut berkongsi maklumat mengenai inisiatif syarikat dalam menyokong pembangunan komuniti melalui pekerjaan berkualiti, sambil menekankan kepentingan memacu ekonomi yang mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-8 dan ke-13.
Program ini berjaya mengintegrasikan elemen teori yang dipelajari di dalam dewan kuliah dengan aplikasi praktikal dalam industri. Melalui pengalaman ini, mahasiswa bukan sahaja memahami dinamika perniagaan, tetapi juga mendapat inspirasi untuk menyumbang kepada ekonomi global secara bertanggungjawab. Ajinomoto turut berkongsi usaha mitigasi perubahan iklim melalui teknologi hijau dan pengurangan jejak karbon. Hal ini dapat membuka perspektif mahasiswa terhadap peranan syarikat dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Menurut Pengarah Program, Encik Muhammad Haziq Aiman Md Husaifi, program ini turut menyediakan ruang kepada para peserta untuk membina jaringan profesional.
“Interaksi bersama pihak pengurusan Ajinomoto membantu mahasiswa memahami kehendak industri dan merancang strategi untuk kerjaya masa depan,” katanya.
Peserta juga dapat bersama-sama menghargai peluang membina rangkaian profesional dengan pihak Ajinomoto, memperkukuh kemahiran interpersonal, serta merangka hala tuju kerjaya.
Business Discovery Program ini dilihat berjaya mencapai objektif utamanya. Program ini membuktikan kejayaannya sebagai platform pembelajaran yang inovatif, memperkukuhkan hubungan antara teori akademik dan realiti industri. Ia dapat mempersiapkan mahasiswa untuk cabaran kerjaya masa depan tetapi juga menyemai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial korporat dan kelestarian. Program ini diharapkan dapat terus menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia memimpin perubahan dalam dunia perniagaan moden.
Penulis (1): Siti Syamira Binti Mohd Ramli, (2) Wan Nurashikin Binti Mahmood