BULETIN PROGRAM RIANG RAYA AIDILFITRI PHYTAS 2024

Buletin Program Riang Raya Aidilfitri PHYTAS 2024

PUNCAK ALAM, 28 MEI 2024 – Pada 18 April 2024, Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program Riang Raya Aidilfitri PHYTAS 2024. Saya, Siti Shaza Elyya Binti Che Baru, selaku Pengarah Program Riang Raya Aidilfitri PHYTAS 2024. Program ini juga merupakan program yang dianjurkan pada minggu ke-4 bagi sesi pengajian kedua tahun 2023/2024 oleh Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS). Ucapan penghargaan khas kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Program Riang Raya Aidilfitri PHYTAS 2024 yang telah dijalankan selama satu hari pada 18 April 2024 itu diadakan secara bersemuka di High Performance Gym, Level 4, FSK 2,3,4. Program ini berjaya menarik minat seramai 124 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi daripada jurusan fisioterapi Universiti Teknologi Mara (UITM) Puncak Alam. Program ini juga disertai oleh pensyarah dan staf fisioterapi.

Program ini bermula dengan ketibaan tetamu VIP program iaitu Dr Ida Hasni Binti Shaari yang merupakan pensyarah program fisioterapi di UiTM Puncak Alam merangkap Ketua Pusat Pengajian Fisioterapi. Program ini diteruskan dengan jamuan makan para VIP dan pelajar. Pelajar semester 6 diarahkan untuk beratur mengambil makanan terlebih dahulu seterusnya diikuti oleh pelajar semester 4 dan semester 2. Ketika jamuan makan berlangsung, tayangan montaj juga turut ditayangkan. Tayangan montaj ini merangkumi semua pelajar dari semester 2, 4 dan 6. Seterusnya, program ini diteruskan dengan persembahan pelajar iaitu dari pelajar fisioterapi sendiri. Pelajar dapat menonton persembahan yang menarik sambil menikmati juadah hari raya di program ini. Sesi seterusnya adalah sesi permainan yang dilaksanakan pada program kali ini adalah permainan “sambung lagu raya”. Program ini diteruskan dengan sesi penyampaian hadiah serta fotografi dan tamat pada pukul 5.30 petang.

Program Riang Raya Aidilfitri PHYTAS 2024 bertujuan untuk mengeratkan hubungan sillaturahim dan memberi peluang interaksi sosial antara pelajar, pensyarah dan staf fisioterapi. Ini juga membolehkan semua peserta saling mengenali antara satu sama lain. Selain itu, program ini bertujuan untuk menanam dan memupuk sifat pemaaf dalam kalangan pelajar, pensyarah dan staf fisioterapi. Di samping itu, program ini dapat memperkenalkan budaya masyarakat Melayu dalam kalangan peserta, terutamanya kepada mereka yang bukan beragama Islam. Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Riang Raya Aidilfitri Phytas 2024. Terima kasih atas kerjasama ahli jawatankuasa yang turut membantu menjayakan program ini. Tidak lupa juga kepada pensyarah, staf serta para mahasiswa dan mahasiswi yang menyertai program ini.

Diharapkan agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan dapat memperoleh ilmu pengetahuan yang baharu berkaitan budaya sambutan Hari Raya Aidilfitri. Dengan wujudnya program ini, universiti dapat melahirkan para graduan yang aktif dalam kegiatan kebudayaan di Malaysia. Program ini juga diharapkan mampu memberi manfaat kepada semua pihak khususnya mahasiswa dalam mencipta kecermelangan bukan sahaja di alam universiti malah berguna pada masa akan datang. Semoga para peserta mendapat pelbagai input yang berguna melalui pengisian dalam program ini.