Buletin Program Orientation Day Misa

Puncak Alam – Program Orientation Day MISA telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2022, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk memperkenalkan organisasi MISA pada pelajar baharu serta merapatkan jurang antara pelajar baharu dan ahli jawatankuasa. Di samping itu, pihak penganjur dapat mengasah kemahiran insaniah serta kepimpinan dalam menguruskan sebuah organisasi. Program ini telah berlangsung pada 22 Oktober 2022 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Serbaguna Angsana, UiTM Puncak Alam. Untuk makluman, program ini telah disertai oleh 66 orang pelajar baharu dari kalangan diploma dan ijazah semester satu kos pengimejan perubatan. Terdapat juga penglibatan daripada 35 orang pelajar daripada Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) yang sudah bertungkus-lumus untuk menjayakan program tersebut. Program ini juga tidak dapat dijayakan tanpa dorangan serta bimbingan daripada Puan Lyana Shahirah binti Mohd Yamin dan Puan Khairunnisa binti Abd Manan selaku Penasihat 1 dan Penasihat 2 persatuan MISA.

Program ini telah dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta termasuk sarapan pagi pada jam 7.30 pagi di kafe Angsana. Setelah itu, pelajar bergerak ke Dewan Serbaguna Angsana untuk bersedia bagi sesi pengenalan bersama Majlis Tertinggi MISA yang dimulakan pada 8.30 pagi. Program diteruskan lagi dengan sesi pengenalan program-program MISA yang akan diadakan pada penggal dua ini. Pada jam 9.30 pagi, slot pertama untuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK) iaitu ‘Nama Saya’ dimulakan dengan pengenalan antara fasilitator dan para peserta dan mereka dibahagikan kepada lima kumpulan. Setelah itu, slot kedua diteruskan dengan aktiviti mencipta sorakan dalam setiap kumpulan. Seterusnya, untuk slot ketiga iaitu Country Boom, setiap kumpulan berlawan sorakan untuk mendapatkan mata bagi kumpulan masing-masing.

Program diteruskan lagi dengan slot keempat iaitu Minefield. Peserta perlu mengelak halangan-halangan sambil menutup mata dan hanya bergantung pada arahan daripada ketua kumpulan masing-masing. Sebelum rehat pada jam 12.00 tengah hari, slot terakhir untuk aktiviti LDK dijalankan iaitu slot Telefon Buruk. Peserta perlu menghafal ayat yang diberikan dan menyampaikan ayat tersebut kepada ahli kumpulan yang lain. Markah dikira mengikut patah perkataan yang sepadan dengan ayat asal.

Program disambung pada jam 2.00 petang dengan aktiviti Permainan. Untuk slot pertama iaitu Guess Me, peserta perlu meneka perkataan yang digayakan oleh ahli kumpulan lain untuk mendapatkan mata. Kemudian, pada slot Uji Bakat peserta perlu melakukan tugas yang diberikan fasilitator. Kumpulan yang melakukan tugas dengan betul mendapat mata untuk kumpulan mereka. Pada slot ketiga iaitu Group In, para peserta diarahkan untuk membuat satu kumpulan mengikut kriteria yang ditetapkan oleh fasilitator dan tiga orang terakhir yang berjaya menepati setiap kriteria yang diberikan akan menyumbang markah kepada kumpulan masing-masing. Aktiviti permainan diakhiri dengan slot kotak beracun di mana para peserta perlu berikan kotak kepada rakan disebelah dan peserta yang memegang kotak tersebut semasa muzik dihentikan perlu membuat tugas yang diberikan fasilitator.

Majlis penutupan program telah diadakan pada jam 4.00 petang dan dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu Wawasan Setia Warga UiTM. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada pengarah program dan presiden MISA. Majlis penutup dirasmikan oleh penasihat MISA yang juga turut memberikan sepatah dua kata dan memberikan pendapat beliau mengenai impak program ini. Kemudian, majlis tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua penasihat MISA diiringi oleh pengarah program dan sesi fotografi bersama para peserta.

Kesimpulannya, program ini telah memberikan impak yang positif kepada fasilitator serta ahli jawatankuasa program yang banyak berjasa dalam menjayakan program ini sehingga mencapai objektif. Para peserta juga telah memberi kerjasama dalam setiap aktiviti yang diadakan dan bergembira sepanjang aktiviti berlangsung. Selain itu, para peserta dapat mencipta memori dan kawan baharu melalui program ini. Pihak MISA berharap agar program seperti ini dapat dijalankan pada masa yang akan datang bagi menerapkan nilai-nilai murni dalam diri fasilitator, ahli jawatankuasa serta para peserta.