‘Seri Iskandar, 8 Disember 2024 – Builders Carnival 2024, sebuah karnival sukan tahunan anjuran Persatuan Bangunan UiTM Cawangan Perak, telah berlangsung dengan meriah di Kompleks Sukan UiTM Seri Iskandar dari 6 hingga 8 Disember 2024. Program ini bertujuan untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti sukan serta memupuk semangat kerjasama berpasukan, sejajar dengan usaha mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sepanjang tiga hari program, termasuk pertandingan sukan berpasukan seperti bola jaring, bola tampar, futsal, badminton, dan badminton. Acara sukaneka turut mendapat sambutan hangat, dengan penyertaan aktif pelajar dalam permainan tradisional seperti tarik tali, bola beracun, lari dalam guni, bowling botol, dan kerusi berirama. Selain itu, e-sport juga turut dipertandingkan dengan penganjuran pertandingan Mobile Lagend Bang Bang (MLBB). Aktiviti ini bukan sahaja menguji ketangkasan peserta, malah mengeratkan hubungan antara mereka.
Karnival ini turut menampilkan gerai jualan makanan dan minuman yang dikendalikan oleh peniaga berdaftar, menambah kemeriahan suasana. Sebanyak 12 gerai dibuka, memberi peluang kepada pelajar dan pengunjung untuk menikmati pelbagai hidangan sambil menyaksikan perlawanan yang berlangsung.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Wan Nordiana Wan Ali, sementara majlis penutupan menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh Ts. Dr. Wan Nur Syazwani Wan Mohammad. Kejayaan program ini bukan sahaja dilihat dari sudut penganjuran acara sukan, tetapi juga dari aspek pemerkasaan komuniti pelajar melalui aktiviti yang menyihatkan dan menghiburkan.
Dengan sambutan yang amat menggalakkan, Builders Carnival 2024 membuktikan bahawa sukan dan aktiviti berkumpulan mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk semangat perpaduan serta membentuk mahasiswa yang lebih aktif dan dinamik. Program ini dijangka akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang sebagai salah satu acara utama Persatuan Bangunan UiTM Cawangan Perak.
Penulis: Farah Salwati Ibrahim, Mohd Najib Abd Rashid, dan Nurhulfah Hinsyirah Haszali