24 Julai 2024- Bual@IMPAK Siri Khas Adiwangsa yang julung kali diadakan telah menampilkan tokoh hebat iaitu mantan Pengarah Institut Teknologi MARA ke-5 iaitu YBhg. Profesor Dato Dr. Mohd Mansor bin Salleh yang sudi berkongsi pengalaman, idea serta memberikan inspirasi sepanjang beliau memacu kecemerlangan ITM yang bermula sejak tahun 1986.
Sesi yang berlangsung hampir dua jam ini telah dikendalikan oleh dua orang moderator iaitu YBhg. Profesor Datuk Dr. Mizan Hitam, Penolong Naib Canselor ILD, serta Pengarah IMPAK YBrs. Dr. Khairudin Murad. Bual @IMPAK ini dibawakan khas oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu IMPAK dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak dan Galeri Tun Abdul Razak.
Turut hadir iaitu Lembaga Pengarah UiTM, YBrs. Encik Mustaffa Kamil Ayub serta sahabat-sahabat lama YBhg. Dato Mohd Mansor antaranya Encik Mustaza Ahmad, Mantan Pengarah Pusat Sukan, Puan Rohany A Rahman wakil NGO, Profesor Dr. Md. Said Zainol dan beberapa tetamu yang lain turut sama meraikan.
Bagai ‘Sireh pulang ke gagang, sejak tahun 1997 tokoh hebat ini telah berkongsi pengalaman dan cabaran semasa menjadi peneraju kepada institusi ini. Beliau mengharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat menyuntik aspirasi dan pedoman untuk barisan kepimpinan serta warga UiTM pada hari ini dalam bersama-sama mendepani cabaran yang hebat meneraju institusi ini.
Tuntasnya, nilai jati diri serta sifat -sifat murni perlu disematkan kepada anak bangsa untuk terus cemerlang agar menjadi tenaga profesional yang berakhlak mulia dan seterusnya dapat menabur bakti kepada agama, nusa dan bangsa.
Penganjuran program bual bicara yang julung kalinya diadakan oleh Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) di bawah Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa yang menampilkan peneraju-peneraju UiTM yang terdiri daripada mantan Pengarah ITM, barisan mantan Naib Canselor UiTM dan Naib Canselor UiTM yang terkini.
Beraspirasikan visi dan misi UiTM serta prakarsa daripada IMPAK, rasional program bual bicara ini diadakan bagi menyuntik semangat warga UiTM khususnya para mahasiswa berkenaan sejarah penubuhan UiTM seterusnya dapat memberi satu impak yang positif kepada warga UiTM bagi mendukung kepimpinan yang diterajui oleh insan-insan hebat barisan Pengarah ITM dan Naib Canselor UiTM dalam memartabatkan pejuangan anak bangsa Melayu Bumiputera.