Pada 19 November 2021 yang lalu, pihak Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kompleks Tok Gajah menganjurkan program bual bicara bertajuk “New Frequency”. Penasihat untuk program kali ini adalah Puan Norhaslinda binti Arun iaitu Ketua Staf Residen Kolej UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka serta merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perladangan & Agroteknologi. Program yang telah dianjurkan ini adalah salah satu usaha memberikan pendedahan dan membuka minda masyarakat terutamanya mahasiswa mengenai perkara –perkara yang sering diperbahaskan berkaitan pengajian di luar negara.
Memenuhi kriteria SDG 4 iaitu “memastikan pendidikan berkualiti inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua” pihak (JPK) Kompleks Tok Gajah telah menjemput dua orang panel iaitu Nurin Hanis Jamaluddin dan Noor Afifah Ab Wahab merupakan pelajar dari Malaysia yang masing –masing masih menuntut di Jordan dan England.
Sepanjang bersiaran secara langsung menggunakan platform Youtube, kedua-dua panel berkongsi pengalaman mereka bermula daripada proses permohonan sehingga pengalaman mereka sepanjang berada di negara luar. Program ini telah berjaya dilaksanakan serta mencatatkan bilangan penyertaan seramai 103 orang penonton yang terdiri bukan sahaja pelajar yang berminat tetapi juga kakitangan UiTM dan ibubapa yang bercita-cita untuk menghantar anak mereka ke luar negara.
Antara mesej utama program ini yang telah disampaikan adalah memperkenalkan kepada masyarakat tentang pengalaman dan tips penyesuaian diri dengan sistem pengajian di luar negara, perbezaan dan keunikan budaya antara Malaysia dan negara luar serta menggalakkan masyarakat mengambil tahu tentang budaya negara luar disamping membincangkan pro dan kontra melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Hasil daripada berlangsungnya program “New Frequency” ini, para peserta menjadi lebih positif dan berkeyakinan untuk melanjutkan pelajaran ke negara luar setelah mendapat pendedahan awal yang bermanfaat daripada kedua-dua panel jemputan.
Diharap, kesinambungan program ini dapat diteruskan di masa akan datang dengan perkongsian yang lebih meluas dan menarik lagi.