Briged Sukarelawan UiTM Bawa Pulang RM13,000 Sempena Sincerely Setia Youth Synergy Programme Finale

26 September 2024 – Dua pasukan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersama sekolah kebangsaan, iaitu Kumpulan UiTM + SK Bukit Tampoi (A) dan Kumpulan UiTM + SK Semenyih, telah mencipta sejarah cemerlang apabila berjaya merangkul Johan dan Naib Johan dalam pertandingan Sincerely Setia Youth Synergy Programme Finale. Acara yang berlangsung dengan penuh kemeriahan di Lakepoint Setia Alam Impian, Shah Alam, menyaksikan kumpulan Johan membawa pulang RM8,000, manakala Naib Johan menerima RM5,000.

Briged Sukarelawan UiTM Shah Alam, di bawah Pusat Kokurikulum, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, turut diraikan dengan Anugerah Geran Program Sincerely Setia Youth Synergy bernilai RM10,000. Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi usaha Briged Sukarelawan UiTM dalam memperluas impak kesukarelawanan mereka kepada masyarakat.

Program anjuran S P Setia Foundation ini bertujuan mengukuhkan perpaduan antara pelajar universiti dan pelajar sekolah kebangsaan melalui persembahan kebudayaan. Kejayaan yang diraih kedua-dua pasukan UiTM menonjolkan komitmen tinggi dalam memupuk kerjasama dan keharmonian antara generasi muda.

Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Noor Jalil, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UiTM, turut hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk meraikan kejayaan gemilang ini.

Selain UiTM, universiti awam lain yang turut bersaing dalam persembahan akhir termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menjadikan pertandingan ini satu platform penting untuk menonjolkan bakat pelajar dalam aspek kebudayaan dan kesukarelawanan.

Penulis Utama:

Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Profesor Dr. Hj. Mohd. Sazili Shahibi

Penulis Bersama:

 Nor Azlin Rosli, Mohd Shukor Abd Rahman, Dr Alwi Mohd Yunus, Dr Basharudin Abdul Hadi