28 Januari 2023,Kuala Lumpur – Pertandingan boling bersama Persatuan Kurang Upaya Putrajaya (ProcJaya) anjuran Pelajar Semester 6 Sarjana Muda Sains Sukan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) yang telah diadakan di Megalanes, Kuala Lumpur.
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan Malaysia iaitu melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, FSR juga turut menyumbang dalam melahirkan pelajar yang berpotensi tinggi dalam bidang sukan yang mampu membawa dimensi baru dalam dunia pendidikan. Selain memenuhi keperluan subjek “Sports For Disabled Population (SPS 652)‟ yang memerlukan pelajar untuk mengaplikasikan pengetahuan kendiri dalam bidang sains sukan ke dalam aktiviti bermasyarakat bersama orang kurang upaya (OKU) dalam persekitaran yang kondusif. Program yang akan dijalankan ini juga dapat menjadi titik permulaan bagi merealisasikan visi dan misi FSR untuk menjadi peneraju utama dan menjadi salah satu pusat kecemerlangan profesional dalam bidang sukan.
Selaras dengan dasar menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, program bersama orang kurang upaya (OKU) ini merupakan satu aktiviti yang penting bagi mewujudkan budaya bersukan dalam kalangan OKU. Ketidaksempurnaan fizikal yang dimiliki bukanlah penghalang untuk mereka kekal aktif dan tidak seharusnya masyarakat kelainan upaya ini dipinggirkan kerana mereka juga turut memberi sumbangan yang besar kepada negara. Selain dari usaha dalam membantu OKU ini mengamalkan gaya hidup sihat, program ini juga dapat memberi input berkaitan inisiatif aktiviti yang boleh dilakukan selaras kemampuan setiap individu yang terlibat. Disebalik itu, aktiviti yang dianjurkan pelajar ini juga dapat memberi pengalaman yang berharga sekaligus dapat membentuk jati diri mahasiswa dan mahasiswi di dalam persediaan menhadapi dunia sebenar di luar sesi pengajaran dan pembelajaran.
Program ini melibatkan 38 orang pelajar Semester 6 Sarjana Muda Sains Sukan dan 2 orang pensyarah iaitu Puan Maisarah Mohd Saleh dan Puan AinaMardia Nazarudin. Pertandingan ini disertai seramai 30 orang kelainan upaya dari pelbagai jenis kelainan upaya. Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada ahli persatuan kerana ini merupakan program sukan pertama yang disertai oleh Persatuan Kurang Upaya Putrajaya (PROcJAYA) yang dianjurkaan khas oleh pihak universiti. Jutaan terima kasih kepada Encik Azhari Ibrahim selaku Ketua PROcJAYA kerana memberi peluang kepada pelajar -pelajar FSR mengendali program sebegini bersama ahli-ahli persatuan yang lain.
Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Pelajar Semester 6 di atas penganjuran yang julung kali diadakan dan mendapat maklum balas yang positif daripada para peserta yang menyertai program.
Diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang kerana ia membantu dalam mempertingkatkan kemahiran pelajar dalam pengurusan diri dan masyarakat sekeliling bagi pelbagai aspek terutamanya di luar lingkungan Universiti khasnya dan Fakulti amnya malah dapat dijadikan sumber dorongan ke arah perkembangan sikap yang positif.