Pada 1 Mei 2021, Persatuan Siswa Siswi Diploma Perakaunan (PERSIDA), UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program bertajuk Borak Santai Zohor. Program ini telah melibatkan pelajar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka khususnya pelajar Fakulti Perakaunan termasuk khalayak umum. Menerusi program ini, Ustaz Wan Dazrin atau lebih dikenali sebagai Da’i Wan telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah kepada umum. Program telah disempurnakan dengan jayanya oleh seorang moderator, saudara Muhammad Adlan Bin Yusri, pelajar Diploma Perakaunan, bahagian 4.
Antara objektif program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar tentang kepentingan menghidupkan suasana bulan Ramadhan Al – Mubarak, memberi motivasi kepada pelajar supaya lebih menghayati bulan Ramadhan dengan sebaik mungkin, mewujudkan aktiviti dakwah dan tarbiyah yang tersusun dan meluas sepanjang bulan Ramadhan serta mengimarahkan amalan perkongsian ilmu di bulan Ramadhan.
Program ini juga dapat menyuntik semangat serta memupuk kesedaran para pelajar, khususnya pelajar perakaunan tentang keberkatan bulan Ramadhan yang mulia ini. Persiapan dari segi rohani perlu dititikberatkan agar segala amal ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih baik dari sebelum ini. Tajuk yang telah di ketengahkan dalam tazkirah ringkas ini memfokuskan keistimewaan bulan Ramadhan terutamanya kelebihan 10 malam terakhir. Program ini berdurasi selama satu jam tiga puluh minit menggunakan platform Instagram live PERSIDA bersama penceramah jemputan.
Penggunaan platfom media sosial ini secara tidak langsung telah memberi peluang penyertaan program ini kepada umum dan diadakan secara terbuka. Dianggarkan lebih 80 orang pelajar telah terlibat dalam sesi Instagram live ini. Pada penghujung program, para pelajar diberi peluang untuk mengajukan persoalan berkaitan ibadah di bulan Ramadhan secara terus kepada penceramah jemputan.
Selain itu, program ini juga bertujuan memupuk semangat bekerjasama sesama ahli PERSIDA dalam pelaksanaan dari awal hingga berlangsungnya program. Pengalaman kejayaan penganjuran ini sangat bermakna bagi semua yang terlibat dalam menjayakannya. Diharapkan agar dengan penganjuran program ini ukhwah yang terbina antara semua akan berkekalan. Pada masa yang sama, Fakulti Perakaunan berharap dengan berlangsungnya program borak santai ini, dapat mendidik pelajar bergiat lebih aktif dalam aktiviti berkesatuan dan menjadikan diri mereka lebih bersedia di masa akan datang.
Melalui program ini, Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang telah menepati Matlamat Pembangunan Lestari yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-4, iaitu Pendidikan Berkualiti. Hasil daripada program ini, peserta memperoleh pengetahuan yang lebih menjurus kepada ilmu keagamaan. Oleh itu,pendidikan berkualiti ini bukan sahaja memfokuskan ilmu dalam bidang-bidang tertentu, tetapi turut mementingkan ilmu keagamaan dan kerohanian demi memberi impak yang positif kepada semua agar insan yang berintelektual dan berakhlak mulia dapat dilahirkan. Program anjuran Fakulti Perakaunan pada kali ini jelas menunjukkan pengetahuan dalam bidang keagamaan perlu seiring dengan ilmu yang diajar di institusi pendidikan.