Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA telah mengadakan satu program BICARA TOKOH sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 pada 10 Ogos 2020 (Isnin) bertempat di Aras 7, Canseleri UiTM Shah Alam. Program BICARA TOKOH ini telah disiarkan secara atas talian di laman sesawang Youtube, UiTM Channel dengan 1,230 tontonan.
Penganjuran program BICARA TOKOH ini telah menjemput YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selaku panel jemputan khas dengan topik yang sangat menarik iaitu, Peranan Raja-Raja dalam Proses Kemerdekaan. Selain itu, Profesor Madya Sr. Dr. Rohayu Abdul Majid, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah dilantik sebagai moderator sepanjang program dijalankan selama 1 jam. Program ini juga melibatkan kehadiran YBhg. Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan Ketua Perpustakaan UiTM serta penglibatan staf pantadbiran KIRRM & PTAR UiTM.
Antara objektif utama program ini dilaksanakan adalah bagi tujuan bersempena hari kemerdekaan yang akan menjelang tiba pada tanggal 31 Ogos 2020. Selain itu, topik yang dibahaskan juga melibatkan peranan Raja dalam proses mencapai kemerdekaan. Di samping itu, program BICARA TOKOH ini dapat memberi fokus ke arah membentuk masyarakat yang dibekalkan dengan ilmu pengetahuan yang lengkap dan pemahaman jelas berkaitan fungsi dan peranan raja, kemahiran yang tinggi dalam memanfaatkan ilmu yang diperolehi dalam menyandang jawatan bagi merealisasikan hasrat mencapai kemerdekaan.
Antara pengisian program ini adalah merakam pengalaman dan pandangan YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkaitan perjuangan kemerdekaan negara. Selain itu, panel jemputan juga telah menerangkan peranan dan tanggungjawab Raja Melayu dalam mencapai kemerdekaan. Topik yang dibahaskan juga melibatkan kisah kemunculan nasionalisme dalam usaha pembebasan.
Secara kesimpulannya, program BICARA TOKOH yang julung-julung kali dianjurkan ini telah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.