Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Universiti Teknologi MARA telah mengadakan satu program BICARA BUKU sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63 pada 11 Ogos 2020 (Selasa) bertempat di Perpustakan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam. Program BICARA BUKU ini telah disiarkan secara atas talian di laman sesawang Youtube, UiTM Channel dengan 656 tontonan.
Penganjuran program BICARA BUKU ini telah menjemput Encik Mohd Arof Ishak, penulis buku “The Malay Civilization” dan juga ahli Lembaga Peradaban Melayu (ADAB). Topik yang diulaskan adalah berdasarkan buku yang telah diterjahkan oleh beliau iaitu, buku Tamadun Alam Melayu. Selain itu, Encik Mohd Yunus Abu Samah, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah dilantik sebagai moderator sepanjang program dijalankan selama 1 jam. Program ini juga melibatkan kehadiran YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan Ketua Perpustakaan UiTM serta penglibatan staf pantadbiran KIRRM & PTAR UiTM.
Tujuan program bicara buku ini dilaksanakan bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya di Malaysia agar dapat menyemarakkan budaya membaca dalam pelbagai aspek dan memastikan generasi akan datang mengenali dan menghargai kejayaan yang pernah dikecapi tanah air dengan pencapaian cukup luar biasa.
Pengkisahan mengenai topik ini adalah berkaitan dengan asal-usul Melayu. Menurut Encik Mohd Arof, beliau menyatakan bahawa tamadun alam Melayu merupakan rumpun yang terbesar di Asia Tenggara dan bahasa Melayu telah tersebar ke Lautan Pasifik sejak 3500 tahun yang lalu serta menyeberangi Lautan Hindi sejak Kerajaan Sriwijaya. Selain itu, beliau turut menerangkan mengenai hipotesis yang sering dikeluarkan oleh para pengkaji kini. Tambahan pula, YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu telah menyatakan terlalu banyak ilmu yang diberikan oleh Encik Arof Ishak mengenai tamadun Melayu dalam bicara ini.
Secara kesimpulannya, BICARA BUKU mengenai “Tamadun Alam Melayu” telah memberi maklumat yang jelas dan bermanfaat kepada masyarakat yang ingin mendalami ilmu Tamadun Melayu. Di samping itu, terdapat beberapa orang penonton yang memberi komen dan maklum balas secara atas talian dengan menanyakan beberapa soalan semasa siaran berlangsung.