26 Ogos 2022 – Shah Alam, Pantun merupakan utusan dan perutusan yang diamalkan dalam bentuk lisan dalam dunia Melayu – semenanjung, Riau, Betawi, Ambon, Acheh dan Minangkabau. Pantun juga adalah pengikat rumpun Melayu di samping guru, seperti pepatah Minangkabau Alam takambang jadi guru. Sempena menyambut bulan kemerdekaan kali ke-65, Pusat Kegiatan Pelajar dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (BHEP UiTM) telah menganjurkan Bengkel Jom Menulis Pantun UiTM Di Hatiku. Bengkel yang dilaksanakan ini bertujuan memberi pendedahan dan bimbingan kepada semua warga BHEP UiTM berkenaan teknik menulis dan mencipta pantun bagi menyokong dan menjayakan Projek Koleksi Beribu-Ribu Pantun UiTM Di Hatiku yang merupakan sebuah Projek Khas Pejabat Naib Canselor UiTM.
Program bertujuan mengukuhkan falsafah dan menyemarakkan semangat UiTM Di Hatiku dalam kalangan keluarga BHEP UiTM bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan, membudayakan penggunaan pantun sebagai budaya Melayu dan rakyat Malaysia dalam kalangan keluarga BHEP UiTM, meningkatkan semangat jadi diri dan cintaka budaya bangsa, melatih kemahiran mencipta dan penulisan kreatif, sebagai sebuah platform pembangunan dan latihan staf, di samping menjayakan Projek Khas Pejabat Naib Canselor, iaitu Projek Buku Koleksi Beribu-ribu Pantun UiTM Di Hatiku. Program yang telah melibatkan 54 warga BHEP UiTM ini telah bertempat di Dewan Platinum Kolej Melati, UiTM Shah Alam.
Bengkel Jom Menulis Pantun UiTM ini telah dihadiri oleh Encik Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim selaku Timbalan Pendaftar Pejabat Timbalan Naib Canselor HEP UiTM untuk memberi ucapan aluan kepada semua peserta program. Prof. Madya Ts Sr Dr Mohd Fadzil Mat Yasin, Ketua Unit Komunikasi Korporat Universiti Teknologi MARA Cawangan Perak hadir selaku penceramah program di mana beliau juga merupakan Jawatankuasa Koleksi Beribu2 Pantun UiTM Di Hatiku. Program dimulakan dengan sesi pengenalan kepada pantun diikuti oleh pecahan kumpulan dan praktis mencipta dan menulis pantun. Setelah selesai menyiapkan pantun, program diteruskan dengan semakan pantun oleh para fasilitator dan proses terakhir dilakukan iaitu memuatnaik pantun ke pautan penyertaan.
Pantun ialah warisan peradaban dan seni budaya Nusantara yang tinggi nilainya. Pantun diamalkan sekian lama dalam masyarakat rumpun Melayu. Pantun menggambarkan genius Melayu dalam tutur kata. Betapa kuat pengaruh kedatangan Islam dalam sosiobudaya Melayu hingga para pedagang dan sesiapa sahaja yang ingin memasuki rumpun Melayu perlu berpantun. Warisan khazanah ini patut diajar dan didik dalam sistem persekolahan, bukan semata-mata dalam peperiksaan, tetapi perlu juga untuk dihayati. Nilai dalam mengangkat martabat pantun merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak tidak kira pihak kerajaan, swasta, NGO, komuniti atau individu untuk memastikan warisan ini terus dilindungi dan disampaikan kepada generasi akan datang.