BEVA Mengekalkan Kejuaraan Buat Kali Kedua Sebagai Reruai Terbaik Sempena Program UNIVIBE 2024

SEREMBAN, 3 Januari 2025 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) telah terlibat dalam program “UniVibe: Explore Your Potential 2024” yang telah dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Tujuan utama program ini sebagai platform promosi dan perkongsian maklumat berkaitan kelab dan persatuan yang berdaftar di UiTM Kampus Seremban. Ia merupakan pameran reruai yang melibatkan persatuan akademik dan bukan akademik.

Sempena program kali ini, pihak BEVA telah membuka reruai pameran yang bertemakan “Songket Splendour: The Royal Textile of Terengganu”, yang mana hiasan reruai dipenuhi dengan konsep kain songket sebagai salah satu fabrik tenunan warisan melayu. Konsep utama pameran reruai BEVA adalah pameran akademik bagi mempromosikan program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) kepada pelajar pada peringkat diploma. Pada masa yang sama, Majlis Tertinggi BEVA turut mempamerkan senarai program, kejayaan-kejayaan yang dicapai serta senarai kerjasama dengan pihak luar bagi menarik perhatian pelajar baharu.

Selain itu, tindakan advokasi berkaitan alam sekitar dan perlindungan haiwan turut diadakan. Penggunaan skuter yang dijana dengan kuasa elektrik juga telah menarik perhatian pengunjung dalam usaha BEVA untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Pada masa yang sama, reruai BEVA turut menyediakan jualan makanan seperti kek batik cheese indulgence dan cheese tart yang diselenggara oleh Exco Keusahawanan BEVA dibawah jenama BEVAEmpire sebagai salah satu usaha penjanaan pendapatan.

Seramai 30 orang pelajar termasuk Majlis Tertinggi Beva Sesi 23/24 dan sekretariat BEVA telah terlibat dalam persiapan reruai yang dihasilkan melalui barangan boleh dikitar semula. Reruai BEVA juga tidak menggunakan sebarang peruntukan kewangan dalam penyediaan hiasan dan mewajibkan pengunjung untuk membawa bekas makanan sendiri bagi menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

Hasil daripada penyertaan program ini, persatuan BEVA telah berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali kedua dengan memenangi Anugerah Reruai Terbaik serta membawa pulang wang tunai sebanyak RM100 dan sijil penghargaan. Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan dua SDG yang utama iaitu SDG5 (Quality Education), dan SDG12 (Responsible Consumption and Production). Program ini telah berjaya mewujudkan kerjasama antara pihak Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Tertinggi Kelab dan Persatuan Dalaman untuk sama-sama mewujudkan program yang lebih bermanfaat kepada semua pelajar UiTM Kampus Seremban.

Penulis: Saidatul Maisa’ Mohamed Hamdan, Mohd Idham Mohd Yusof