Berkongsi Pengetahuan Pembungkusan dan Perlabelan Produk, Pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media UiTM Melaka Bantu Usahawan KEMAS Lebih Berdaya Saing

KEPALA BATAS, 21 Ogos 2023 – Dalam usaha untuk memperkukuhkan usahawan tempatan, Pusat Latihan KEMAS (PLK) Kepala Batas telah menganjurkan program pembungkusan dan perlabelan produk untuk mempertingkatkan kecekapan dalam aspek pembungkusan, perlabelan, dan pemasaran produk.

Dengan bimbingan daripada Pensyarah Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah, Muhammad Firdaus Amairudin yang merangkap perunding, para usahawan bimbingan KEMAS didedahkan dengan kepentingan strategi pembungkusan dan perlabelan yang berkesan dalam memasarkan produk kepada pelanggan.

Sesi yang turut dibantu oleh pegawai-pegawai KEMAS sebagai pembimbing dan pemberi dorongan bertujuan memperkukuhkan usahawan tempatan dalam aspek pembungkusan, perlabelan, dan pemasaran produk. Muhammad Firdaus juga telah berkongsi idea dan pandangan berkenaan rekabentuk pembungkusan yang menarik serta pentingnya maklumat produk yang lengkap termasuk maklumat nutrisi di dalam produk makanan.

Selain itu, beliau turut mengupas proses pendaftaran rekabentuk jenama produk serta teknik-teknik mencetak pembungkusan yang berkualiti, selain membimbing para usahawan merekacipta mockup pembungkusan seperti produk sebenar. Di dalam program yang sama, peserta program juga dikejutkan oleh pengumuman berkenaan satu peruntukan khas pakej pembungkusan dan perlabelan oleh KEMAS kepada lima usahawan terpilih, berdasarkan produk yang dihasilkan selepas bengkel.

Usahawan-usahawan terpilih ialah Puan Che Maizah dengan produk Minuman Kesihatan Daun Sena, Puan Nurlina yang menghasilkan Brownies Cookies, Puan Hasnita Hashim dengan produk Laksa Penang, Puan Nurbaiti Md Yusoff dengan pelbagai produk seperti Wajik, Aneka Kuih Talam, Loyang dan Acar Ikan Talang.

Penolong Pengarah Pembangunan Komuniti Dan Pendidikan Kemahiran Jabatan KEMAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohamad Rafee berkata program itu diharapkan membantu para usahawan berdaya saing dalam pasaran global yang semakin kompetitif. “Kami telah pun merancang bengkel lanjutan agar Encik Muhammad Firdaus boleh memantau hasil rekaan label dan pembungkusan usahawan sebelum ia menghantar untuk dicetak di kilang, dan usaha ini kemudiannya akan membantu mereka menghasilkan produk sebenar dengan lebih baik,” ujarnya.

Peserta program Puan Hasnita Hashim berkata, perkongsian itu telah memberi pendedahan berguna di dalam teknik rekabentuk berkesan. “Saya juga teruja dapat belajar menggunakan perisian dan teknologi kecerdasan buatan di dalam bidang keusahawanan dan akan memanafaatkan ilmu ini sebaiknya,” tambah Hasnita.