Berkat Tabung Sumbangan Bantu 101 Mahasiswa B40 UiTM

 

SHAH ALAM, 25 FEBRUARI 2022 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Jabatan Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur (PPII) telah melaksanakan program khidmat masyarakat dengan pemberian sumbangan 67 unit komputer kepada pelajar UiTM yang kurang kemampuan (B40) di Dewan Anjung Seri Budiman, Shah Alam. Majlis penyerahan sumbangan ini merupakan majlis kemuncak (Serahan ke-7) dan ia dianjurkan secara hibrid. Perasmian majlis ini disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan penyerahan  sumbangan dilakukan secara fizikal oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Mohd Fozi Ali, Timbalan Naib Canselor Pembangunan diiringi Prof Madya Ir. Ts. Dr. Hajah Juliana Johari, Penolong Naib  Canselor (Infostruktur) dan Puan Hajah Sariani Sarijo, Pengarah Pengurusan ICT Jabatan Infostruktur.

Beberapa siri majlis penyerahan seperti ini telah berlangsung bermula sejak 2 Oktober 2021 apabila serahan pertama hasil daripada kutipan dana ini disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi. Berikutan daripada itu, serahan komputer riba ini diteruskan sebanyak enam kali dan acara kemuncak penyerahan ialah pada 24 Februari 2022. Sepanjang program khidmat masyarakat ini, UiTM telah menyantuni 101 pelajar B40 UiTM.

YBhg. Prof. Dato’ Ir. Ts. Dr. Haji Mohd Fozi Ali berkata “Program ini telah bermula sejak Julai 2021 dan sasaran pertama bagi projek ini adalah untuk mendapatkan kutipan dana bagi mendapatkan 100 unit komputer melalui sumbangan orang ramai melalui pautan UiTMPAY dan Alhamdulillah berjaya mengumpul dana sebanyak RM121,342.41”. Selain itu, UiTM juga telah mendapat sokongan dan sumbangan komputer dari syarikat yang prihatin terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran atas talian iaitu syarikat Segimaju Sdn Bhd, Topbits Sdn Bhd dan Akari Software Asia Pacific Sdn Bhd. Sijil penghargaan dan cenderahati turut disampaikan kepada syarikat-syarikat tersebut sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan bantuan yang diberikan.

“UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi memainkan peranan penting bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar dengan lebih berkesan, dengan menerusi projek sumbangan komputer riba seperti ini kepada pelajar-pelajar UiTM yang terpilih dalam kalangan B40, secara langsung menunjukkan terjemahan rasa tanggungjawab sosial dan keprihatinan dalam menyantuni serta meringankan bebanan yang dihadapi oleh para pelajar.” ujar Datuk Naib Canselor UiTM.

Datuk Naib Canselor UiTM percaya sumbangan ini adalah inisiatif yang sangat bermakna kepada para pelajar khususnya dalam memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif, seimbang serta selaras dengan matlamat untuk meningkatkan Happiness Index pelajarpelajar UiTM.

Beliau juga berharap agar sumbangan ikhlas ini akan membakar semangat dan motivasi pelajar untuk terus menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh serta sentiasa menerap diri menjadi insan yang sentiasa mencintai pembelajaran.

Salah seorang penerima bantuan ini, Muhammad Amir dari jurusan kejuruteraan di UiTM mengucapkan rasa bersyukur dan ribuan terima kasih terhadap pihak UiTM kerana memilihnya sebagai pelajar yang layak mendapat bantuan komputer riba ini.

Dalam majlis sama, acara penyerahan mock-cheque turut disumbangkan oleh UiTM Cawangan Pulau Pinang dan pihak Pengurusan ICT, masing-masing berjumlah RM 8,521.22 dan RM 75,000 ke dalam tabung amanah khidmat masyarakat dan kepada Jabatan Infostruktur UiTM bagi membiayai pemberian sumbangan komputer riba kepada pelajar UiTM B40.