Pahang, 24 Jun 2024 – Seiring dengan Matlamat Pembangunan Kelestarian (SDG 3) – Kesihatan dan Kesejahteraan, kehadiran seramai 1000 peserta membuktikan bahawa warga UiTM Cawangan Pahang sedar kepentingan mengamalkan cara hidup sihat. Program yang melibatkan warga UiTM Cawangan Pahang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar telah berjalan kaki sejauh 2.4 kilometer di dalam Kampus Jengka hari ini sebagai menzahirkan kehidupan yang lebih sihat , cerdas serta mempupuk minda yang cergas sempena Mini Sambutan 25 Tahun UiTM Sebuah Universiti dan Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan.
Turut serta dalam acara ini adalah Jawatankuasa Eksekutif Negeri UCPh, wakil Pulau Banding Foundation iaitu penaja bagi program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan. Menerusi program ini, hubungan kekeluargaan antara ahli keluarga kakitangan, sesama kakitangan dan pelajar dapat diperkukuhkan serta juga dapat memupuk perpaduan dan Kerjasama.
Sebelum acara berjalan kaki dimulakan, satu sesi senamrobik yang diteraju oleh pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi telah dilakukan sebagai sesi pemanasan badan. Sepanjang perjalanan aktiviti, para warga UCPh telah mengibarkan Jalur Gemilang sambil menikmati kedudukan geografi UCPh yang menyajikan pemandangan indah sebagai salah satu terapi minda dan hati. Ini adalah penting bagi mengurangkan stress dalam pekerjaan dan pembelajaran yang mana ianya boleh merangsang penghasilan hormon endorfin dan membuatkan warga berasa lebih ceria serta sihat yang signifikan dengan perkara yang diterapkan di dalam SDG 3.