JENGKA, PAHANG, 4 Oktober 2024 – Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menganjurkan Bengkel Utilizing Canva for Active Learning bertempat di Bilik Latihan Staf UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka). Bengkel tersebut berlangsung selama empat jam bermula dari jam 8.15 pagi hingga 12.15 tengah hari dan disertai seramai 25 orang pensyarah Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka).
Bengkel Utilizing Canva for Active Learning diadakan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran para pensyarah dalam penggunaan aplikasi Canva sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Selain memastikan para pensyarah tidak ketinggalan dalam memanfaatkan kemajuan teknologi untuk merangka proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih aktif dan efektif bersama pelajar, objektif utama juga adalah untuk mempelbagaikan teknik pengajaran yang dapat menarik minat pelajar agar dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam subjek yang dipelajari.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh penceramah jemputan iaitu Encik Mohd Ikhsan bin Md Raus, Pensyarah Kanan dari Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik, UiTM Cawangan Pahang (Kampus Jengka) yang juga merupakan seorang Certified Canva Trainer. Dalam perkongsian ini, Encik Mohd Ikhsan telah mendedahkan para peserta kepada teknik asas penggunaan Canva dan cara mengaplikasikan penggunaan Canva Whiteboard dalam pengajaran.
Dalam slot terakhir bengkel, para peserta dikehendaki mengaplikasikan ilmu yang dipelajari bagi membuktikan bahawa mereka mampu menghasilkan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik buat para pelajar menjelang semester baharu kelak. Kreativiti dan kemampuan para peserta dapat dilihat sewaktu pembentangan dibuat. Bengkel ini juga secara tidak langsung telah memberi ruang kepada para peserta untuk bekerjasama dan bertukar pandangan berkenaan aktiviti yang boleh dilakukan berdasarkan kursus-kursus yang diajar. Adalah diharap bengkel seperti ini dapat terus dianjurkan bagi memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran pada masa akan datang.