Shah Alam, 18 sehingga 22 November 2024 – Unit Bahasa Perancis Akademi Pengajian Bahasa (APB) telah mengadakan bengkel dokumen kursus baharu yang bertempat di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Bengkel bersemuka ini melibatkan kesemua pensyarah bahasa Perancis UiTM Cawangan Selangor Kampus Shah Alam, seorang pensyarah bahasa Perancis dari UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun dan dua orang pensyarah bahasa Perancis dari UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.
Tujuan diadakan bengkel ini adalah untuk berbincang secara komprehensif berkenaan penghasilan kurikulum yang berimpak dan relevan dengan keperluan pelajar dasawarsa ini. Hal ini rentetan daripada pekeliling akademik bilangan 16 tahun 2024 yang mewartakan pengurangan jumlah jam temu bagi pembelajaran bahasa ketiga. Pengurangan jam temu ini bakal memberi ruang kepada para pelajar untuk meningkatkan lagi kemahiran asas dalam bidang mereka.
Oleh itu, bengkel ini merupakan salah satu wasilah dalam memastikan dokumen kurikulum bagi kursus-kursus baharu iaitu TLF401 dan TLF451 mampu menyokong kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan oleh para pelajar. Antara perkara-perkara yang telah dibincangkan adalah kemahiran komunikasi para pelajar yang selari dengan tahap A2 mengikut skala Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) iaitu standard antarabangsa untuk menerangkan keupayaan bahasa merentas membaca, menulis, mendengar dan bertutur.
Diharapkan dengan bengkel ini, para pensyarah secara khususnya dan UiTM secara amnya mampu melahirkan para pelajar yang cekap dan berkemahiran.
Penulis: Muhammad Usamah Mohd Ridzuan