Bengkel “Training of Trainer (ToT) With Zull Design Autotronic (Green Energy) For STEM Education”.

Fakulti Pendidikan, UiTM Kampus Puncak Alam – Jabatan Sains dan Matematik, Fakulti Pendidikan telah menganjurkan dengan jayanya sebuah Bengkel “Training of Trainer (ToT) With Zull Design Autotronic (Green Energy) For STEM Education” secara bersemuka pada 11 November 2021. Sesi ceramah dan aktiviti bengkel tersebut telah bertempat di Studio Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), Fakulti Pendidikan.

Pengajuran bengkel TOT ini adalah bertujuan untuk mendedahkan para pensyarah atau tenaga pengajar berkenaan aktiviti atau projek berkaitan tenaga hijau (solar panel) yang boleh diaplikasi dalam pengajaran STEM. Selain itu, bengkel ini bertujuan untuk melatih para pensyarah, secara amali, cara pemasangan panel solar yang boleh digunapakai dalam pengajaran kursus SME543 (Integrated STEM Education). Adalah diharapkan agar sesi TOT ini, pada masa yang sama, dapat meningkatkan profesionalisme para pensyarah pendidikan sains dan matematik yang terlibat.

Sesi Bengkel “Training of Trainer (ToT) With Zull Design Autotronic (Green Energy) For STEM Education” ini telah dijalankan oleh pakar bidang dan penceramah jemputan luar dari Zull Design Autotronic iaitu Encik Zulfadzli bin Haron. Beliau merupakan seorang ‘knowledge specialist’ atau pakar bidang tenaga hijau, khususnya bagi aplikasi panel solar.

Seramai 7 orang pensyarah daripada Jabatan Sains dan Matematik Fakulti Pendidikan telah hadir dan mengikuti aktiviti-aktiviti menarik sepanjang bengkel ini berlangsung. Bengkel ini juga telah dihadiri dan dirasmikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Ts. Dr. Sharipah Ruzaina Syed Aris, Dekan Fakulti Pendidikan, UiTM.