Pada 6 Januari 2023 lalu, sekumpulan pelajar pascasiswa dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Kedah telah menjalankan sebuah program yang dinamakan Bengkel Teknik Kumpulan Nominal Ubahsuai (Modified NGT). Bengkel ini merupakan proses akhir dalam pengumpulan data bagi kajian Ph.D pelajar pascasiswazah yang melibatkan pengguna sebenar kepada projek yang dijalankan.
Kajian memberi fokus kepada penghasilan model yang berperanan untuk membantu pereka dan pensyarah reka bentuk produk, guru-guru Dyselxia, para terapi dan ibu bapa untuk mencipta alat bantu mengajar. Alat bantu ini akan memberi manfaat kepada kanak-kanak Dyslexia peringkat pertengahan dalam meningkatkan potensi membaca dengan lebih lancar.
Seramai 30 orang peserta daripada beberapa kategori telah dipilih untuk menyertai kajian ini. Kategori pertama melibatkan seramai 10 orang pensyarah reka bentuk produk dari UiTM Cawangan Kedah, Universiti Sains Malaysia dan UNiMAP Perlis. Seterusnya, kategori kedua melibatkan 10 orang peserta dari kalangan ibubapa kepada kanak-kanak Dyslexia. Kemudian, kategori ketiga pula melibatkan 5 orang tenaga pengajar kanak-kanak Dyslexia dari Pusat Dyslexia Malaysia Cawangan Utara, serta seorang guru pendidikan khas dari Penang. Kategori terakhir melibatkan 2 orang terapi pertuturan bahasa dan 2 orang terapi cara kerja yang didatangkan khas dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Perlis.
Program ini bermula seawal jam 8 pagi dan dijalankan di Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah. Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Azhari Md Hashim selaku penyelia utama pelajar. Seterusnya, program diteruskan dengan penyampaian taklimat dan penerangan kajian oleh pelajar pascasiswazah terlibat. Secara umumnya, proses teknik kumpulan nominal ubahsuai (Modified NGT) ini bermula sekitar jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Sesi pengulungan program dan penutup telah disempurnakan oleh Dr. Muhammad Nidzam Yaakob selaku penyelia bersama dan program berakhir sekitar 1.00 tengah hari.
Program ini diharapkan dapat menghasilkan alat bantu mengajar yang praktikal untuk kegunaan kanak-kanak Dyslexia dalam meningkatkan potensi membaca dengan lebih lancar dan sempurna.
Penulis:
Norarifah Ali
PM Ts Dr Azhari Md Hashim
PM Ts Dr Roslinda Binti Alias
Dr Muhammad Nidzam Bin Yaakob