Bengkel ‘Strategic Action Plan’ UiTMCK 2023 Sesi 2

NILAI, 10 Disember – Unit Transformasi Universiti UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan Bengkel ‘Strategic Action Plan’ (SAP) UiTMCK 2023 Sesi 2 pada 8 hingga 10 Disember 2022. Bengkel ini adalah susulan daripada penganjuran Bengkel SAP UiTMCK 2023 Sesi 1 yang telah dijalankan pada bulan November yang lalu. Penganjuran bengkel SAP Sesi 2 ini merupakan platform kepada Pemilik dan Pelaksana untuk membentangkan perancangan inisiatif bagi petunjuk prestasi kampus pada tahun 2023. Pembentangan inisiatif strategik ini memfokuskan kepada dua petunjuk prestasi (PI) iaitu PI Universiti dan juga PI Sokongan.

Slot pembentangan inisiatif strategik dimulakan dengan pembentangan PI dibawah tanggungjawab Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri dan Alumni oleh Ketua Pusat Pengajian. Sesi pembentangan yang melibatkan beberapa unit iaitu URMI, ICAN dan MASMED ini disusuli dengan maklum balas dan input penambahbaikan perancangan dan inisiatif daripada pihak Pemilik. Slot pembentangan pada sesi petang diteruskan dengan pembentangan PI Universiti yang lain daripada wakil di Bahagian Hal Ehwal Akademik, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bendahari, Bahagian Pengurusan Fasiliti, dan Pendaftar. Perancangan inisiatif strategik bukan sahaja tertumpu kepada fakulti selaku pelaksana, malahan semua unit dan bahagian di UiTMCK juga terlibat sama dalam perancangan inisiatif strategik kampus. Slot pembentangan yang melibatkan PI Sokongan disampaikan oleh Ketua PTJ setiap bahagian dan unit yang terdiri daripada Perpustakaan Tengku Anis, Kampus Kota Bharu, Infostruktur dan juga Pejabat Rektor. Setelah semua perancangan inisiatif dibentangkan dan diteliti, Penyelaras AKNC UiTMCK membuat rumusan tentang bidang tumpuan penulisan laporan AKNC bagi tahun 2023 akan memfokuskan bidang “Pengurusan dan Pembangunan Staf”.

Pada sebelah malam pula, Pemilik dan Pelaksana diraikan dalam sebuah Majlis Makan Malam yang bertemakan “Purple White”. Majlis diserikan dengan ucapan penutup oleh Prof. Abdol Samad bin Nawi, Rektor UiTMCK. Setiap Pemilik PI Universiti dan PI Sokongan menyerahkan perancangan inisiatif masing-masing kepada Rektor kampus sebagai perjanjian pelaksanaan inisiatif bagi tahun 2023. Sesi pertukaran hadiah antara peserta menjadi acara selingan dalam atur cara majlis makan malam menyuntik tanda ingatan sesama peserta.