Bengkel Perancangan Strategik HEP FSK 2023 anjuran Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, 13 dan 14 Mac 2023: Program Bengkel Perancangan Strategik Hal Ehwal Pelajar Fakulti Sains Kesihatan 2023 anjuran Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK) sesi 2022/2023 merupakan sebuah program tahunan yang diadakan bertujuan untuk merancang dan menyelaraskan sebuah takwim yang berketetapan dengan Key Performance Indicator (KPI) fakulti sepanjang sesi 2022/2023. Program ini dijalankan secara atas talian selama dua hari dan disertai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP), barisan ketua pusat pengajian Fakulti Sains Kesihatan (FSK), barisan penasihat persatuan pelajar FSK, koordinator-koordinator FSK, staff operasi FSK, Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2022/2023 dan wakil daripada 10 persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan.

Pada hari pertama iaitu pada 13 Mac 2023, pukul 9.30 pagi, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, dan lagu Wawasan Setia Warga UITM. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan doa, ucapan daripada Muhammad Ezlan bin Md Salleh selaku pengarah program dan ucapan perasmian program daripada Encik Romizan bin Jathin selaku Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FSK. Slot pembentangan dimulakan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF), dan diikuti dengan Persatuan Pelajar Kesihatan Persekitaran (EHSAn), Persatuan Pelajar Pemulihan Carakerja (OTSA), Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA) dan Persatuan Pelajar Dietetik (DiETS). Setiap pembentangan perancangan aktiviti persatuan dibincangkan bersama Encik Romizan bin Jathin dan penasihat persatuan agar menepati piawaian KPI fakulti. Program yang mendapat kelulusan daripada Encik Romizan bin Jathin boleh dilaksanakan sepanjang sesi 2022/2023. Program Bengkel Perancangan Strategik ini ditunda pada pukul 12.00 tengah hari.

Pada hari kedua program iaitu pada 14 Mac 2023, majlis bermula tepat jam 9:30 pagi dengan pembentangan ke-6 daripada Persatuan Pelajar Optometri (OPTIMIST) diikuti dengan Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Kelab LENSA Fakulti Sains Kesihatan (LENSA), Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) dan akhir sekali persatuan Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH). Slot pembentangan daripada persatuan dalaman diakhiri dengan slot pembentangan Akademi Pembangunan Perniagaan Kecil & Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) daripada Puan Hairenanorashikin binti Sharip, Koordinator MASMED. Majlis pada hari kedua diakhiri dengan ulasan keseluruhan daripada Encik Romizan bin Jathin, diikuti dengan Nyanyian Lagu UITM Dihatiku, dan sesi fotografi.
Program ini telah berlangsung dengan jayanya dan telah mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan. Dengan adanya program Bengkel Perancangan Strategik HEP FSK 2023 ini, sebarang pertindihan program dapat dielakkan dengan mengadakan lebih banyak program kolaborasi antara persatuan dalam fakulti sains kesihatan. Ini secara tidak langsung dapat merapatkan jurang antara persatuan serta menjamin keberlangsungan program sepanjang penggal 2022/2023. Oleh itu, program seperti ini perlulah diteruskan lagi pada masa akan datang agar dapat merancang aktiviti persatuan dengan lebih strategik serta dapat menjalin ukhwah antara mahasiswa.

Disediakan oleh,
MUHAMMAD EZLAN BIN MD SALLEH
Exco Perhubungan, Pengantarabangsaan dan Protokol (3P)
Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2022/2023