Bengkel Penyediaan Kertas Kerja Dan Framework Penubuhan Konsortium Agro-Edu Tourism Anjuran UiTM Cawangan Pulau Pinang

1 Mac 2021 – Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (Aras Tinggi) (High-End TVET Centre), Bahagian Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penyediaan Kertas Kerja dan Konsep Framework Penubuhan Konsortium Agro-Edu Tourism antara UiTMCPP dan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia. Bengkel selama dua hari ini diadakan pada 1hb dan 2hb Mac 2021 secara maya menggunakan platform Google Meet. Sesi perkongsian pintar ini adalah bertujuan untuk membantu warga BPLTV sebagai rakan strategik UiTMCPP dalam menerbitkan kertas kerja dan konsep penubuhan konsortium TVET Kolej Vokasional dengan instructional strategy yang sesuai.

Bengkel ini dirasmikan oleh Profesor Ts. Dr. Salmiah Kasolang, Rektor UiTMCPP dengan kehadiran Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri, Puan Norhana Mustapha dan Penolong Pengarah Unit Kerjasama dan Hubungan Industri, Dr. Muhammad Ali Halim Sirat. Antara penceramah-penceramah yang telah dijemput untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman ialah Dr. Azlan Othman (Koordinator ICAN), Prof. Madya Dr. Azila Azmi, dan En. Zamri Ahmad yang juga merupakan pensyarah-pensyarah daripada UiTMCPP.

Seramai lebih 124 peserta telah menghadiri bengkel selama dua hari ini. Peserta-peserta adalah terdiri daripada pengurusan tertinggi BPLTV, pengurusan tertinggi kolej-kolej vokasional dari seluruh Malaysia, terutamanya yang menawarkan program-program pertanian seperti kolej vokasional (pertanian) Chenor, Pahang; kolej vokasional (pertanian) Teluk Intan, Perak; kolej vokasional Pasir Puteh, Kelantan; kolej vokasional Pagoh, Johor; kolej vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau, Negeri Sembilan; kolej vokasional Lahad Datu, Sabah. Selain daripada itu, wakil-wakil daripada industri yang sedang menjalinkan kerjasama dengan kolej-kolej vokasional pertanian turut dijemput menyertai bengkel ini. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bengkel ini adalah pengenalan kepada konsortium dan kepentingannya, perkongsian kolaborasi bersama industri, pengurusan dan pengoperasian agro-edu tourism, pembentangan kertas kerja dan konsep framework konsortium, dan sesi perkongsian daripada kolej-kolej vokasional yang terlibat. Diakhir program, para peserta telah dianugerahkan sijil digital atas keterlibatan mereka dalam program ini.