KAMPUNG GAJAH, PERAK, 23 September 2024 – Institut Kepimpinan & Pembangunan (ILD) di Kampung Gajah menjadi lokasi penganjuran Bengkel Penulisan Projek Ikhtisar bagi pensyarah Diploma Teknologi Seni Perindustrian bagi kod program CAAD 134 dan CAAD 114 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 23 hingga 25 September 2024. Bengkel ini melibatkan 20 pensyarah, dengan 14 orang dari UiTM Kedah dan 6 orang dari UiTM Melaka. Bengkel ini bertujuan menyeragamkan penulisan projek ikhtisar dan pemurnian dokumen OBE untuk sesi akademik Oktober 2024 hingga Februari 2025.
Bengkel bermula pada 23 September dengan keberangkatan peserta dari UiTM Kedah pada jam 8.00 pagi. Setibanya di ILD Kampung Gajah pada jam 1.20 petang, para peserta telah mendaftar masuk di Villa Wawasan sebelum bengkel dimulakan pada jam 2.10 petang. Bengkel dimulakan dengan taklimat pembukaan oleh Puan Fadila Mohd Yusof selaku Ketua Program Jabatan dari UiTM Kedah, diikuti oleh ucapan alu-aluan dan perasmian oleh Dr. Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti sebagai Ketua Pusat Pengajian (KPP) dari UiTM Kedah.
Sesi pertama menyaksikan pemurnian dokumen OBE yang melibatkan semakan silibus dari sistem Academic Information Management System (AIMS) dengan kesetaraan dari penulisan ikhtisar semester lepas. Proses ini dibimbing oleh moderator En. Azmir Mamat Nawi dan Puan Norarifah Ali. Pada sebelah malam, perbincangan projek ikhtisar diteruskan dengan sesi kolaborasi antara pensyarah dari Kedah dan Melaka mengikut subjek Resource Person (RP) dan Lecturer In Charge (LIC).
Pada hari kedua iaitu pada 24 September, bengkel dimulakan dengan sesi perbincangan mengikut bidang pengkhususan untuk memastikan penyelarasan penulisan projek ikhtisar. Template yang telah disediakan oleh Encik Mohd Rashidy Samsudin digunakan untuk mengarahkan projek ikhtisar mengikut subjek teras dan sokongan. Perbincangan diteruskan sehingga petang dengan pemantauan moderator, di mana setiap kumpulan perlu melengkapkan draf penulisan mereka.
Pada waktu petang, peserta dapat meluangkan masa dengan aktiviti santai dan riadah seperti berbasikal dan menikmati panorama di sekitar ILD sebelum meneruskan sesi penulisan projek ikhtisar pada waktu malam.
Hari terakhir pada 25 September, bengkel dimulakan dengan pembentangan projek ikhtisar oleh RP/LIC dan pensyarah yang mengajar untuk subjek berikut:
- IDD 211 – Creative Thinking oleh Dr. Nurhikma Mat Yusof dan Puan Dinah Rakhim.
- IDD 235 – Design and Manufacturing oleh Encik Ahmad Fazlan Bin Ahmad Zamri.
- IDD 237 – Design Style and Technology oleh Encik Azmir Mamat Nawi.
- IDD 240 – Automotive Design Studio oleh Dr. Hasnul Azwan Bin Azizan @ Mahdzir dan En. Zaidi Yusoff.
- IDD 242 – Design For Society oleh Encik Mohd Rashidy Samsudin, Encik Abu Hanifa Bin Ab Hamid, dan Puan Fadila Mohd Yusof.
Pembentangan ini disusuli dengan sesi penggulungan oleh semua peserta dan bengkel secara rasminya ditutup oleh Dr. Nurul ‘Ayn Ahmad Sayuti pada jam 12.00 tengah hari. Para peserta kemudiannya menikmati makan tengah hari bersama-sama sebelum bertolak pulang ke UiTM Kedah pada jam 1.00 petang.
Bengkel ini telah berjaya mencapai matlamatnya dengan kerjasama padu antara pensyarah Kedah dan Melaka, menghasilkan draf projek ikhtisar yang menyeragamkan proses pengajaran dan pembelajaran bagi Diploma Teknologi Seni Perindustrian. Program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertukar pandangan dan memperkukuhkan hubungan profesional dalam kalangan pensyarah.
Penulis bersama: Dinah Binti Rakhim, Fadila Binti Mohd Yusof, Mohd Hamidi Adha Bin Mohd Amin dan Mohd Taufik Bin Zulkefli.