Bengkel Peningkatan Kompetensi dan Kemahiran Pengendalian Siasatan Polis Bantuan UiTM Perak

5 Ogos 2024 – Bengkel peningkatan kompetensi dan kemahiran pengendalian siasatan polis bantuan Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan perak telah diadakan di FP MK 06, UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Seramai 20 orang peserta yang terdiri daripada staf polis bantuan Kampus Seri Iskandar dan Kampus Tapah hadir dalam bengkel yang dianjurkan oleh Jabatan Undang-Undang dan Polis Bantuan UiTM Cawangan Perak.

Bagi mempertingkatkan kompetensi dan kemahiran siasatan polis bantuan, terdapat dua slot ceramah dalam bengkel yang diadakan ini iaitu (i) Pengendalian siasatan salah laku pelajar dan (ii) Prosedur pengendalian siasatan yang efektif: peranan dan tanggungjawab Polis Bantuan UiTM.

Slot ceramah bertajuk “Pengendalian siasatan salah laku pelajar” telah disampaikan oleh Dr. Farihana binti Abdul Razak, Pensyarah Kanan selaku Penasihat Hal Ehwal Undang-Undang UiTM Cawangan Perak; manakala slot ceramah berkaitan “Prosedur pengendalian siasatan yang efektif: peranan dan tanggungjawab polis bantuan UiTM” telah disampaikan oleh YDH ACP Tuan Mohd Fahmi Visuvananthan bin Abdullah, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan/Strategik), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Turut hadir dalam bengkel yang diadakan adalah YBrs. Dr Ahmad Zoolhelmi bin Alias, Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Bengkel yang telah dianjurkan ini telah mendapat maklum balas yang amat baik dan positif daripada peserta. Adalah diharapkan dengan bengkel sebegini mampu memberikan motivasi dan menyuntik semangat kepada peserta untuk terus mengekalkan prestasi serta komited dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

Tuntasnya, penganjuran bengkel sebegini menggambarkan komitmen UiTM Cawangan Perak dalam memperkasakan pasukan keselamatan yang merupakan tunjang dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga UiTM terjamin. Oleh itu, program ini mampu meningkatkan kemahiran individu serta menyumbang kepada peningkatan keselamatan dan kesejahteraan di kampus.

Penulis bersama: Nurul Izzati Md Rashid, Muhamad Ikhwan Mohd Zain & Afidah Osoman