Shah Alam – Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, InQKA dan Unit Debat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar buat pertama kalinya menjadi penganjur bagi Bengkel Pengacaraan dan Penampilan Diri yang telah diadakan pada 2 Ogos 2022 bertempat di Institute of Business Excellence (IBE), UiTM Shah Alam. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membantu staf serta pelajar dalam membentuk kemahiran kendiri semasa mengacara program-program yang dikendalikan bagi menjaga imej serta memastikan acara yang dijalankan berjalan dengan lebih lancar.
Bengkel pada kali ini dikendalikan oleh penceramah yang cukup hebat iaitu pengacara Selamat Pagi Malaysia dari RTM, Encik Ridwan Mustafa dan Cik Syafiqah Ishak.
Pihak penganjur telah menerima seramai 62 penyertaan dari kalangan staf dan pelajar dan maklum balas penyertaan kali ini, amatlah berpuas hati kerana mereka dapat menimba ilmu pengetahuan yang baharu seperti teknik artikulasi. Latihan seperti Tongue Twister for Kids dan Pen Below Tongue adalah penting bagi memastikan kelancaran sebutan sepanjang pengacaraan diadakan.
Selain daripada teknik artikulasi, penceramah juga berkongsi teknik pause semasa membaca skrip contohnya pause by meaning dan pause by breathing. Teknik seperti ini membantu pengacara nampak lebih terampil dan tidak kaku di hadapan penonton terutamanya ketika acara siaran langsung.
Bengkel ini juga memberikan gambaran yang jelas kepada peserta tentang perbezaan antara pengacara TV dan pengacara majlis. Tugas dan tanggungjawab selaku pengacara atau moderator diterangkan secara terperinci.
Peserta sangat berpuas hati dan memberikan maklum balas yang sangat baik kerana sepanjang bengkel mereka dapat membuat latihan aktiviti berkumpulan serta merasai sendiri pengalaman belakang tabir sebagai seorang pengacara TV.
Selain dari bengkel ini dapat menambahbaik kemahiran staf dan pelajar dalam pengacaaraan majlis, bengkel ini juga telah berjaya mencungkil bakat-bakat baharu serta meningkatkan keyakinan dan keterampilan diri. Bengkel ini juga telah memberikan panduan yang lebih baik dalam pengendalian majlis.