Sejajar dengan perlaksanaan Pelan Strategik UiTM 2020 – 2025 (UiTM2025) dan inisiatif ‘Globally Renowned University ‘(GRU), UiTM Cawangan Pahang selangkah maju dengan mengadakan Bengkel Pemurnian Perancangan Strategik pada 9 – 11 Mac 2022 di De Rhu Beach Resort, Kuantan.
Bengkel 3 hari 2 malam ini bertujuan untuk merangka pelan-pelan dan inisiatif-inisiatif yang akan dilaksanakan sepanjang tahun 2022 dalam mencapai petunjuk prestasi (PI) yang telah diamanahkan kepada UiTM Cawangan Pahang. Initiatif membuka kaunter pelanggan oleh setiap PTJ utama di sebelah malamnya telah dikendalikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli bagi bertujuan mengumpulkan segala maklumat, aduan, permasalahan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan kepada warga kampus agar Indeks Kegembiraan (Happiness Index) dapat dipertingkatkan.
Setiap peneraju PI yang terdiri daripada BHEA, BHEP, BPJI, Pendaftar, Bendahari, Perpustakaan dan PPII terlebih dahulu membuat pembentangan mengenai Operational Descriptive (OD) PI yang telah diperturunkan kepada pelaksana-pelaksana utama iaitu Ketua-Ketua Pusat Pengajian (KPP). Di hari terakhir, setiap KPP akan membentangkan pelan-pelan yang akan dilaksanakan dalam mencapai PI yang telah diperturunkan oleh peneraju-peneraju PI.
Rektor UiTM Cawangan Pahang, YBhg. Profesor Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan juga menyampaikan amanat beliau sewaktu penutupan bengkel dengan menyuntik kata-kata motivasi dan semangat kepada warga pelaksana PI UiTM2025. UiTM Cawangan Pahang sangat komited dalam menggerakkan pelan UiTM2025 agar setiap PI yang diperturunkan dapat dilaksanakan sebaiknya dengan perancangan yang teliti dan menggapai pencapaian 6 Bintang di akhir tahun 2022 ini.