PAHANG, 26 OGOS 2024 – Calculus 1 (MAT183) merupakan subjek yang ditawarkan kepada pelajar Diploma Sains di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang Kampus Jengka. Subjek ini dikenali sebagain “killer subject” yang menyumbang kepada peratusan kegagalan tertinggi untuk pelajar Diploma Sains. Maka, para pensyarah Pengajian Sains (Matematik), KPPIM yang mengajar subjek MAT183 pada semester ini bersetuju untuk menjalankan satu bengkel pemantapan untuk para pelajar.
Bengkel pemantapan ini telah dijalankan pada 3 Mei 2024. Untuk siri yang pertama, bengkel ini hanya menjurus kepada tajuk Limit & Continuity yang menyumbang kepada 50% dalam ujian penilaian yang pertama. Seramai 109 orang pelajar dan 12 orang pensyarah yang terlibat secara langsung mahupun secara tidak langsung. Antara 109 orang pelajar ini, terdapat 23 orang pelajar yang dilantik untuk menjadi mentor. Mentor ini dipilih berdasarkan prestasi mereka di dalam kelas.
Bengkel ini adalah bertujuan untuk membantu para pelajar dalam meningkatkan prestasi mereka. Para mentor dipertanggungjawabkan untuk membantu rakan-rakan mereka dalam mempertingkatkan teknik menjawab soalan dan juga kefahaman mereka terhadap penyelesaian masalah. Bengkel ini diharapkan agar dapat membantu para pelajar dalam menjawab soalan ujian penilaian yang pertama.