Bengkel “Leafy Offices” Tingkatkan Persekitaran Kerja dengan Tumbuhan Hiasan Dalaman di UiTM Cawangan Perak

Seri Iskandar, 12 Februari 2025 – Sempena Sambutan Bulan Inovasi dan Festival Kelestarian Kampus Hijau Peringkat UiTM Cawangan Perak 2024, Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak telah menganjurkan bengkel bertajuk “Leafy Offices: Enhancing Workspaces with Indoor Plants”. Bengkel ini, yang dikendalikan oleh Unit 2: Green Office, telah diadakan pada 22 November 2024 di Dewan Kuliah Al-Khawarizmi. Program ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran kepada warga kerja mengenai penanaman dan penjagaan tumbuhan hiasan dalaman, serta menggalakkan amalan lestari di pejabat.

Bengkel ini turut menekankan pentingnya mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat dan menyenangkan, yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan fizikal dan mental pekerja. Selain itu, usaha ini juga selaras dengan PI135 UiTM dalam meningkatkan keceriaan kampus.

Seramai 80 peserta daripada pelbagai PTJ di UiTM serta agensi luar sekitar Perak Tengah seperti Jabatan Pertanian, Institut Pertanian Titi Gantung, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Perak Tengah, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Daerah Utara, dan Majlis Daerah Perak Tengah telah menghadiri bengkel ini dengan jayanya.

Peserta juga berpeluang membeli pelbagai pokok hiasan dalaman daripada tiga pembekal yang menyertai program ini, yang telah dijual di foyer Bangunan Ukur Bahan. Dari segi estetika, tumbuhan dalaman bukan sahaja menambah elemen visual yang menarik, tetapi juga membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih menyenangkan, sekaligus meningkatkan imej pejabat dan kepuasan pekerja.

Bengkel “Leafy Offices” ini merupakan langkah proaktif oleh Unit 2: Green Office untuk memperbaiki persekitaran kerja dan mempromosikan amalan lestari yang memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini serta menyemarakkan Sambutan Bulan Inovasi dan Festival Kelestarian Kampus Hijau 2024.