PUNCAK ALAM, 5 Jun 2024 – Bengkel Karya Seni ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 5 Jun 2024 bertempat di SMK Puncak Alam, Selangor. Bengkel Karya Seni ini telah disertai oleh 30 orang murid-murid Tingkatan 5 aliran Seni dari sekolah tersebut. Seramai 30 orang pelajar tahun akhir Bidang Senibina Dalaman, disertai 2 orang pensyarah Bidang Senibina Dalaman, dari Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman telah bekerjasama dengan Bahagian Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM untuk merealisasikan program khidmat masyarakat bersama komuniti setempat.
Bengkel seni kreatif ini telah dirancang oleh pensyarah Senibina Dalaman, Ts. Norji Nasir selaku pengarah program khidmat masyarakat di mana ianya bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai teknik seni lukisan dalam penghasilan karya seni di samping mencungkil bakal seni yang terpendam dalam kalangan murid-murid sekolah. Dalam masa yang sama, ia dapat memupuk minat murid dalam mengekspresikan hasil seni sebagai salah satu cabang terapi dalam pengurusan harian. Karya Seni ini mendapat kerjasama menyeluruh dari pihak sekolah terumatanya Tuan Guru Besar SMK Puncak Alam dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana meluluskan bengkel ini untuk dilaksanakan selepas cuti sekolah baru-baru ini.
Program yang berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 5.00 petang juga telah berjaya menarik minat anak-anak murid SMK Puncak Alam ini untuk menghasilkan karya seni seperti yang dijadualkan terutama mengekspresikan idea kreatif melalui imaginasi seni penghasilan karya. Para pelajar dan pensyarah berganding bahu menerangkan teknik penyediaan seni melalui beberapa proses agar membuahkan hasil. Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang baik antara murid – murid sekolah kerana mereka menunjukkan kesungguhan bersama-sama pelajar menghasilkan seni. Mereka berjaya mengikuti teknik yang diterapkan bagi penghasilan karya seni mereka dan berpeluang mengenali bahan-bahan asas yang diperkenalkan.
Secara keseluruhan, program ‘Bengkel Karya Seni’ ini berjaya menarik minat dan kesungguhan dalam kalangan anak-anak murid SMK Puncak Alam ini tentang nilai-nilai kesenian menggunakan peralatan seni yang dibekalkan hasil sumbangan yang ditaja oleh warga industri dan alumni Bidang Senibina Dalaman, Kolej Pengajian Alam Bina. Bengkel ini telah berjaya memberikan fokus yang tinggi dalam kalangan murid-murid dalam menyiapkan karya seni yang diajar. Mereka bekerja secara berkumpulan untuk berbincang mengenai proses asas seni reka bentuk termasuk “basic hatching & architectural drafting”. Penganjuran program ini amat penting sebagai satu usaha menjayakan program khidmat masyarakat ‘University Social Responsibility’ antara pelajar Senibina Dalaman, UiTM Cawangan Selangor, industri dan juga alumni di mana ianya boleh memberi impak ‘Knowledge Transfer Program’ (KTP) kepada komuniti. Ianya juga dapat membuka peluang dan pengalaman yang baru untuk mengembangkan bakat graduan Senibina Dalaman bersama komuniti.
Maklumat lanjut mengenai bengkel seni boleh dirujuk di laman web Home | My Site (https://creanova2024.wixsite.com/creanova/new-activities)
#Creanova24