Bengkel Kaji Semula Modul Program Kepimpinan Pelajar TAMU (Transformasi Mahasiswa UiTM) diadakan di ILD

BANDAR ENSTEK, 10Februari 2025 – Institut Latihan Kepimpinan UiTM (ILD) telah menjadi tuan rumah kepada Bengkel Kaji Semula Modul Program Kepimpinan Pelajar TAMU (Transformasi Mahasiswa UiTM), yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 7 hingga 9 Februari 2025.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini bertujuan untuk menyemak semula kandungan modul yang sedia ada bagi memastikan kesesuaian dan keberkesanannya dengan keperluan semasa, selain memastikan ia sejajar dengan aspirasi UiTM2025 dan visi JHEP ke arah UiTM2030. Elemen-elemen seperti teknologi, digitalisasi, inovasi jaringan kerjasama dan pengukuran keberkesanan modul turut diselaraskan dengan modul-modul sedia ada.

Program Kepimpinan Pelajar TAMU merupakan pengganti kepada Program Kepimpinan Pewaris Bangsa (PKPB) yang dilaksanakan sejak 25 Mac 2015, menggantikan Program Kemahiran Insaniah (Pro-KI). Modul-modul utama dalam TAMU termasuklah Modul Kepimpinan Profesional (Juara Komuniti), Modul Kepimpinan Dinamik (Pemantapan), Modul Patriotisme, Modul Mind Empowerment for Success (MINDS) dan Modul Pembangunan Kerjaya (eMPK).

Bengkel ini turut melibatkan penyertaan dari Ketua Unit Kepimpinan Pelajar (KUKP) dari 13 kampus UiTM serta wakil-wakil dari Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Pejabat Transformasi Universiti, Jabatan Undang-undang UiTM, serta Pusat Kerjaya dan Kaunseling. Selain itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Dato Ts Dr Mohd Hasrol Hajar Jono, dan Pengarah Akademi Kepolisan UiTM, Prof Madya Dr Basharudin Abd Hadi turut hadir bagi menyemak dan memperkemaskan modul-modul yang berkaitan dengan kenegaraan.

Dalam ucapan pembukaan dan Amanat Tahun Baharu 2025, Profesor Madya Dr. Alwi Mohd Yunus, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar UiTM, menyeru agar kerjasama antara kampus dipergiatkan dalam melaksanakan transformasi kepimpinan pelajar. “UiTM2025 dan JHEP2030 menuntut komitmen kolektif melalui kolaborasi. Setiap modul yang dibangunkan mesti menyokong pembangunan pelajar dari segi jati diri, nilai murni, dan daya kepimpinan holistik,” ujar beliau.

Bengkel ini ditutup dengan ucapan perasmian oleh Profesor Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa modul kepimpinan pelajar perlu sentiasa relevan dengan cabaran global dan keperluan industri. “TAMU bukan sekadar program, tetapi platform untuk membentuk mahasiswa yang berintegriti, kreatif, dan berketrampilan sebagai pemimpin masa depan,” jelas beliau.

Sebagai penutup, para peserta bersetuju untuk memperkukuhkan jaringan kolaboratif antara kampus dan memperluas program mentor-mentee bagi mempercepatkan pencapaian matlamat TAMU, iaitu melahirkan pemimpin muda yang unggul di peringkat nasional dan global. Dengan komitmen tinggi daripada semua pihak, UiTM terus melangkah maju sebagai peneraju pendidikan teknikal dan vokasional yang tidak hanya fokus kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah kepimpinan pelajar yang seimbang.

Penulis : Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus , Dato Ts Dr Mohd Hasrol Hajar Jono , Prof. Madya Dr Basharudin Abd Hadi

Penulis Bersama :Cik Nordiana Ibrahim, Mohamad Hisyam Ismail