Bengkel Imaginasi Seni bersama Pelajar SK Puncak Perdana

PUNCAK PERDANA, 8 Jun 2024 – Bengkel Imaginasi Seni ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 8 Jun 2024 bertempat di SK Puncak Perdana, Puncak Perdana, Selangor. Bengkel Imaginasi Seni ini telah disertai oleh 30 orang murid-murid Tahun 6 dari sekolah tersebut. Seramai 33 orang pelajar termasuk pelajar semester 4 dan pelajar tahun akhir Bidang Senibina Dalaman, disertai 5 orang pensyarah Bidang Senibina Dalaman, dari Pengajian Senibina dan Senibina Dalaman telah bekerjasama dengan Bahagian Jaringan Industri, Komuniti & Alumni (ICAN), Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk merealisasikan program khidmat masyarakat bersama komuniti setempat.

Bengkel seni kreatif ini telah dirancang oleh pensyarah Senibina Dalaman, Pn. Turkan Sultan Yasar Ismail selaku pengarah program khidmat masyarakat di mana ianya bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai teknik seni lukisan dalam penghasilan karya seni di samping mencungkil bakat seni yang terpendam dalam kalangan murid-murid sekolah. Dalam masa yang sama, ia dapat memupuk minat murid dalam mengekspresikan hasil seni sebagai salah satu cabang terapi dalam pengurusan harian. Bengkel Imaginasi Seni ini mendapat kerjasama menyeluruh dari pihak sekolah terutamanya Tuan Guru Besar SK Puncak Perdana dan juga Jabatan Pendidikan Negeri Selangor kerana meluluskan bengkel ini untuk dilaksanakan selepas cuti sekolah baru-baru ini.

Program yang berlangsung seawal jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar jam 5.00 petang juga telah berjaya menarik minat anak-anak murid SK Puncak Perdana ini untuk menghasilkan karya seni seperti yang dijadualkan terutama mengekspresikan idea kreatif melalui imaginasi seni penghasilan karya. Para pelajar dan pensyarah berganding bahu menerangkan teknik penyediaan seni melalui beberapa proses agar membuahkan hasil. Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama yang baik antara murid – murid sekolah kerana mereka menunjukkan kesungguhan bersama-sama pelajar menghasilkan seni. Mereka berjaya mengikuti teknik yang diterapkan bagi penghasilan karya seni mereka dan berpeluang mengenali bahan-bahan asas yang diperkenalkan.

Secara keseluruhan, program ‘Bengkel Imaginasi Seni’ ini berjaya menarik minat dan kesungguhan dalam kalangan anak-anak murid SK Puncak Perdana ini tentang nilai-nilai kesenian menggunakan peralatan seni yang dibekalkan hasil sumbangan yang ditaja oleh warga industri dan alumni Bidang Senibina Dalaman, Kolej Pengajian Alam Bina. Bengkel Imaginasi Seni ini telah berjaya memberikan fokus yang tinggi dalam kalangan murid-murid dalam menyiapkan karya seni yang diajar. Mereka bekerja secara berkumpulan untuk berbincang mengenai proses memanipulasi bentuk kepada seni karya yang diadaptasikan ke dalam ruang masing – masing. Penganjuran program ini amat penting sebagai satu usaha menjayakan program khidmat masyarakat ‘University Social Responsibility’ antara pelajar Senibina Dalaman, UiTM Cawangan Selangor, industri dan juga alumni di mana ianya boleh memberi impak ‘Knowledge Transfer Program’ (KTP) kepada komuniti. Ianya juga dapat membuka peluang dan pengalaman yang baru untuk mengembangkan bakat graduan Senibina Dalaman bersama komuniti.

Maklumat lanjut mengenai bengkel seni boleh dirujuk di laman web Home | My Site (https://creanova2024.wixsite.com/creanova/new-activities)
#Creanova24