22 Jun 2024 – Bengkel Fizik Moden bagi kod kursus PHY310 telah diadakan bertujuan membantu pelajar semester 4, Diploma Sains, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tapah, Cawangan Perak bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam subjek tersebut. Program ini yang disertai oleh 374 pelajar dan modul lengkap telah diedarkan pada pelajar terlebih dahulu sebelum program ini dijalankan.
Program dibawah anjuran Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perak, Kampus Tapah ini dirancang untuk membimbing peserta dalam teknik-teknik menjawab soalan dan beri persediaan menghadapi ujian berterusan kedua yang dijadualkan pada minggu akhir sesi pembelajaran. Selain itu, objektif bengkel ini adalah untuk memberi penekanan kepada konsep asas Fizik Moden memberi keutamaan kepada perkara penting bagi setiap subtopik dalam kod kursus Fizik Moden.
Sesi bengkel dimulakan dengan melengkapkan peta minda modul yang mengandungi nota ringkas yang lebih padat dan lebih mudah difahami terutama dari segi definisi dan konseptual. Nota ini dapat membantu pelajar untuk memfokuskan perkara yang menjadi tumpuan dalam soalan-soalan peperiksaan. Aktiviti seterusnya adalah sesi perbincangan koleksi soalan peperiksaan yang lepas dengan bimbingan pensyarah yang berpengalaman dalam bidang Fizik Moden.
Beberapa tips tambahan diberi kepada pelajar supaya lebih peka dalam menganalisis kehendak soalan bagi mengelak sebarang kecuaian ketika menjawab soalan ujian. Pelajar juga diingatkan supaya lebih cakna dalam pengurusan masa ketika ujian sedang berjalan supaya semua soalan dapat diselesaikan mengikut unjuran masa yang diberi. Selain daripada aktiviti pembelajaran, bengkel ini turut diselitkan dengan motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha dalam mandalami ilmu dalam apa jua bidang yang diceburi. Ini dapat membangkitkan semangat pelajar agar lebih berkeyakinan dan lebih berdaya saing bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah dapat mencapai objektif dalam membantu pelajar memperbaiki prestasi akademik mereka terutama dalam kod kursus Fizik Moden. Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, demi memastikan pelajar UiTM terus cemerlang dalam bidang akademik dan lebih kompetitif di peringkat yang lebih tinggi.
Penulis: Nurul Aimi Zakaria, Dr Siti Nasuha Mohd Rafien, Dr Siti Sumaiyah binti Sheikh Abdul Aziz, Lili Widarti Zainuddin