Bengkel ‘CFAP992 Thesis Bootcamp’ Berfokus ke Arah Meningkatkan Kualiti Tesis Pascasiswazah

KAMPAR, November 2024 – Program Doktor Falsafah Rekabentuk dan Alam Bina (CFAP992), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Bengkel `CFAP992 Thesis Boot Camp’ kali kedua untuk tahun 2024 pada 9 dan 10 November 2024 di Hotel Grand Kampar, Perak. Bengkel ini disertai oleh pelajar pascasiswazah CFAP992, bertujuan membantu para pelajar lebih fokus dalam menyiapkan penulisan tesis dan mencapai matlmat pengijazahan dalam masa yang ditetapkan atau Graduate on Time (GOT).

Penyertaan bengkel ini terbuka kepada pelajar yang berada di peringkat penulisan tesis serta mendaftar kod tesis DBE931/DBE932/DBE933/DBE934. Peserta juga perlu memberikan komitmen penuh sepanjang pengisian program.
Fasilitator memainkan peranan penting dalam bengkel ini dengan membantu peserta menjawab soalan, mencatat jumlah patah perkataan yang ditulis dan seterusnya menjumlahkan bilangan patah perkataan yang ditulis oleh pelajar sepanjang bengkel berlangsung. Bagi menghargai usaha peserta, pihak urusetia telah menyediakan tiga kategori pemenang utama bagi Penulis Terbanyak. Setiap pemenang diberikan penghargaan dalam bentuk cenderahati dan menerima e-sijil.

Bengkel `CFAP992 Thesis Boot Camp’ dibuka dengan taklimat oleh Dr. Izatul Farrita Mohd Kamar, Koordinator Program, diikuti sesi Penulisan Intensif 1. Program yang dijalankan turut mengadakan acara sukaneka bagi menceriakan serta mewujudkan suasana yang santai kepada para pelajar. Sementara sesi malam diteruskan dengan Ceramah 1 bertajuk “How to Structure Your Thesis?” oleh Profesor Madya Dr Kharizam Ismail. Ceramah tersebut disusuli dengan Penulisan Intensif 2.

Bengkel ini juga telah mengendalikan Ceramah 2 bertajuk ‘Tips for Writing a Good Thesis’ pada keesokan harinya, yang disampaikan oleh Profesor Madya Sr Dr. Irwan Mohammad Ali. Ceramah ini menekankan panduan untuk menghasilkan tesis yang lebih berkualiti. Bengkel diteruskan dengan Penulisan Intensif 3 dan kemudian Ceramah 3 – Sesi Perkongsian Bersama Alumni CFAP992, oleh Dr. Muhammad Anas Othman. Perkongsian ini diharapkan dapat memberi inspirasi dan semangat kepada para pelajar untuk menyiapkan tesis masing-masing. Bengkel tersebut bersambung dengan sesi Penulisan Intensif 4, sebelum diakhiri dengan penyampaian rumusan oleh ketua fasilitator, dan majlis penyampaian hadiah kepada tiga pemenang penulis terbanyak dalam sesi kali ini.

Bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya dalam membantu pelajar pascasiswazah untuk lebih bersemangat dan bertambah fokus dalam menyiapkan penulisan tesis mereka. Selain itu, bengkel ‘CFAP992 Thesis Boot Camp’ ini juga turut memberi inspirasi dan panduan berguna untuk memastikan para pelajar bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan (GOT).

Dr Izatul Farrita Mohd Kamar & TPr Dr Kushairi Rashid