Bengkel Asas Pengkomputeran Bersama Pelajar Tahfiz MRIQ: Mempersiapkan Generasi Huffaz dengan Kemahiran Insaniah

Sungai Petani, 13 September 2024 – Pada 13 September 2024, bertempat di Maahad Riyadhil Quran (MRIQ), Sungai Petani, Kedah, telah berlangsung satu Bengkel Asas Pengkomputeran bersama pelajar-pelajar tahfiz dari MRIQ. Bengkel ini dianjurkan oleh Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP). Seramai 22 orang pelajar tahfiz, bersama tiga orang ustaz dari maahad tersebut, telah menyertai program ini. Bengkel ini dikendalikan oleh enam pensyarah dari JSKM yang diketuai oleh Encik Syarul Heiry bin Yahaya, dengan bantuan tiga pelajar praktikal dari UiTMCPP sebagai fasilitator.

Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkenalkan pelajar tahfiz kepada asas penggunaan tiga aplikasi utama dalam Microsoft Office, iaitu MS Word, MS Excel, dan MS PowerPoint. Bengkel ini dirangka khas untuk membantu pelajar Tahfiz MRIQ mempelajari kemahiran asas komputer, selain mempersiapkan mereka dengan kemahiran insaniah yang diperlukan selepas mereka tamat menghafaz al-Quran. Pelajar-pelajar tahfiz yang mengambil bahagian menerima bimbingan yang menyeluruh daripada pensyarah berpengalaman dalam suasana yang mesra dan interaktif.

Pihak JSKM amat berbangga dengan komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para pelajar sepanjang bengkel berlangsung. Mereka bukan sahaja berjaya menguasai kemahiran asas komputer, tetapi juga menunjukkan minat yang mendalam terhadap bidang pengkomputeran.

Pihak JSKM berharap agar ilmu yang diperoleh dalam bengkel ini akan memberi manfaat yang berkekalan kepada para pelajar dalam kehidupan mereka. Diharapkan mereka dapat mempraktikkan kemahiran yang dipelajari dalam pembelajaran dan kerjaya mereka kelak. Usaha seperti ini tidak akan berhenti di sini; JSKM merancang untuk menganjurkan lebih banyak bengkel seperti ini pada masa akan datang bagi memperkasakan kemahiran pelajar tahfiz dalam bidang teknologi maklumat.