25 Julai 2024 – Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (BPJI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mengadakan satu program Bengkel Asas Penggunaan Aplikasi Canva pada 25 Julai 2024 (Khamis) bertempat di Bilik Komputer Perpustakaan Al-Bukhari, UiTM Cawangan Pahang dengan dihadiri seramai 31 orang guru sekolah di sekitar Bandar Tun Abdul Razak, Jengka.
Penganjuran bengkel ini adalah merupakan satu inisiatif oleh BPJI untuk memperluaskan penggunaan aplikasi Canva dalam kalangan pendidik terutamanya para guru agar tidak ketinggalan dalam aspek penguasaan pengetahuan dan kemahiran digital pada masa kini.
Bengkel ini terbahagi kepada dua sesi dan sesi pertama dimulakan dengan slot ceramah berkaitan pengenalan kepada asas penggunaan aplikasi Canva yang telah disampaikan oleh En. Mohd Ikhsan bin Md Raus, Pensyarah Kanan, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM), UiTM Cawangan Pahang. Antara pengisian slot pertama ini adalah peserta diberi pendedahan berkaitan penggunaan fonts, colors, shapes, elements & layouts yang bersesuaian dalam menghasilkan poster yang menarik dan interaktif. Seterusnya, pengisian untuk sesi kedua pula berkaitan reka bentuk poster grafik iaitu Do’s and Don’ts dalam mereka bentuk poster yang profesional. Bengkel diakhiri dengan sesi pembentangan hasil kerja peserta dan pemilihan poster paling menarik yang mempunyai semua maklumat asas dalam penghasilan poster yang berbentuk promosi.
Penganjuran bengkel asas penggunaan aplikasi Canva ini secara tidak langsung dapat memupuk minat peserta terhadap bidang reka bentuk grafik di samping menjana idea kreatif para peserta. Ianya juga dapat memberi galakan motivasi dan menjadi harapan yang besar kepada para guru khususnya agar dengan segala ilmu yang telah dipelajari ini, mereka dapat menghasilkan pelbagai karya digital yang lebih kreatif untuk menarik minat pelajar untuk belajar di samping memenuhi keperluan pendidikan di bilik darjah yang berasaskan pendigitalan pendidikan.
Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai matlamat dan objektif seperti yang dirancang dengan keterlibatan para peserta yang sangat memberangsangkan. Selain itu juga, program ini telah menyumbang kepada pencapaian PI UiTM Cawangan Pahang iaitu PI075 (Khidmat masyarakat), PI078 (Jumlah diterima) dan PI079 (Perkongsian teknologi).
Penulis: Norihan Yahya
Penulis bersama: Nurrohana Ahmad dan Norshahidatul Akmar Mohd Shohaimi