Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah menganjurkan Bengkel Aplikasi CANVA (Advance Level) pada 9 dan 10 Julai 2024 yang bertempat di Makmal 2, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam. Seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UiTM terlibat sepanjang sesi bengkel ini berlangsung.
Dalam era teknologi yang memerlukan kepantasan dan penghasilan kerja yang efisien, penguasaan aplikasi Canva dilihat menjadi salah satu solusi dalam membantu meningkatkan kompetensi para akademik, staf pentadbiran dan juga pelajar. Berbanding dengan aplikasi reka grafik konvensional seperti Adobe Illustrator dan Adobe Photoshop, Canva lebih mudah untuk dipelajari dan kerja-kerja reka letak dan animasi dapat dilakukan dengan lebih cepat dan mudah. Sesi bengkel ini dibahagikan kepada lima (5) modul yang disampaikan oleh penceramah dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM iaitu Encik Mahathir Ahamad dan Puan Norasikin Alimom.
Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta mengenai penggunaan aplikasi Canva (advance level) dalam menghasilkan poster, bunting, risalah, slaid pembentangan dan sebagainya dengan cara yang mudah, menarik dan kreatif berbanding dengan aplikasi sedia ada seperti Adobe Photoshop, Microsoft Powerpoint dan seumpamanya. Selain itu, bengkel ini juga dapat memberi pengenalan kepada peserta mengenai fungsi Presentation & Animation MP4/GIF sekaligus dapat memperkukuhkan pengetahuan dalam bidang suntingan.
Sebanyak 5 video menggunakan teknik reka letak dan animasi berjaya dihasilkan oleh para peserta secara berkumpulan. Idea-idea kreatif peserta dizahirkan dalam bentuk video menunjukkan kemampuan mereka mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam tempoh yang singkat. Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang terlibat.