Shah Alam, 12 April 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam sesi 2022/2023 telah mengambil inisiatif dalam menganjurkan Bazar Ramadan bermula pada 1 hingga 10 April 2023 bagi menampung keperluan mahasiswa dalam dan luar kampus untuk membeli juadah berbuka puasa. Anjuran Bazar Ramadan ini adalah usaha sama MPP UiTM Shah Alam bersama-sama pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Unit Ruang Niaga, Pejabat Pembangunan Infrastruktur dan Infostruktur. Bazar Ramadan yang berpusat di Padang Kawad UiTM Shah Alam ini telah menyediakan lebih 30 vendor dengan pelbagai jenis makanan buat pilihan semua warga UiTM yang datang membeli.
Bazar Ramadan ini telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor. Datuk Naib Canselor menerusi ucapannya menyokong inisiatif ini kerana ia sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mengimplementasi pemerkasaan mahasiswa di semua IPTA/IPTS. Program ini merupakan salah satu program yang berimpak tinggi apabila tidak menggunakan sebarang dana, malah ia menjana pendapatan MPP secara keseluruhan melalui aktiviti keusahawanan seperti ini.
Satu pencapaian besar buat MPP UiTM Shah Alam kerana penganjuran bazar ini telah mendapat sokongan jitu daripada semua ahli MPP UiTM se-Malaysia apabila semua MPP UiTM telah melawat bazar ini pada 7 April 2023 sempena lawatan MPP UiTM ke UiTM Shah Alam. Pada 10 April 2023, Rakan Alam Sekitar telah membuat kempen “Zero Single Plastic Awareness In Ramadan” di Padang Kawad. Ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai tentang bahayanya penggunaan plastik dalam kehidupan seharian. Rakan Alam Sekitar juga telah memberi botol dan beg sebagai sumbangan kepada pelajar yang datang ke kempen tersebut.
Secara keseluruhannya, Bazar Ramadan ini telah memberi platform kepada mahasiswa untuk menjana pendapatan sampingan. Dengan itu, hasrat UiTM untuk menjadi Global Renowned University 2025 juga boleh tercapai kerana mahasiswa yang proaktif dalam aktiviti keusahawanan.