Basic Aids In Sport

PUNCAK ALAM – Program Webinar: Basic Aids in Sport anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam telah diadakan pada 16 Jun 2022 melalui aplikasi Facebook Live ‘MELTECH UiTM Puncak Alam’. Seramai 13 orang ahli jawatankuasa serta seorang penceramah jemputan dan 92 orang peserta terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini merupakan usaha Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai asas pertolongan cemas yang betul dalam aktiviti sukan. Penceramah yang dijemput merupakan Encik Muhammad Noor Hizami Hamidi, yang merupakan pensyarah dari Fakulti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Pengarah program, Nurul Fitriyyah Mohd Alwi berkata, program sebegini amat diperlukan untuk memberikan kefahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan mengetahui asas pertolongan cemas ketika bersukan. Beliau juga berharap agar semua ahli jawatankuasa yang menyertai program ini dapat menggunakan ilmu yang diberikan sebaik mungkin sekaligus mengasah bakat kepimpinan yang ada dalam diri mereka.

“Selain itu, diharapkan semua ahli jawatankuasa yang terlibat juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mampu menguruskan sesebuah program dengan lebih baik agar dapat mengharumkan nama MELTECH dan UiTM. Hal ini sejajar dengan usaha kita untuk memperkenalkan UiTM sebagai sebuah universiti yang melahirkan mahasiswa yang mempunyai pelbagai pengetahuan dan kemahiran.” katanya.