Kuala Terengganu, 23 Jun 2024 – Pertandingan BARATRIO dan GLAMours telah berjaya dilaksanakan di Kuala Terengganu pada 22 Jun 2024. Pertandingan ini yang julung kali diadakan ini adalah anjuran Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UiTM dengan kerjasama daripada Unit Kepimpinan Pelajar (UKP), UiTM Cawangan Terengganu, Kampus Dungun. Pertandingan ini telah melibatkan 46 orang pelajar dari UiTM Shah Alam dan UiTM Cawangan Terengganu (Kampus Dungun dan Kampus Bukit Besi).
Menurut Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar, Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus; “Program bersifat pertandingan sebegini perlu diteruskan dan dijayakan oleh Unit Kepimpinan Pelajar seluruh sistem UiTM bagi menanamkan semangat cintakan negara dan membantu generasi baharu untuk memahami sejarah negara dengan penuh penghayatan dan berkesan.”
Beliau menambah; “Sejarah jika dibaca tanpa penghayatan akan mewujudkan rasa bosan malah akan menyebabkan mana-mana individu tidak berminat untuk mengetahui sejarah perjuangan bangsa dan negara. Akibatnya, mereka akan menafikan perjuangan orang terdahulu untuk membentuk Malaysia ketika ini.”
Pertandingan Pengembaraan Trio (BARATRIO) dan Pertandingan GLAMours telah mula diperkenalkan pada Ogos 2023 sebagai salah satu aktiviti di dalam Unit Kenegaraan, Institut Kepimpinan Pelajar (IKP), Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM. Program pertandingan BARATRIO dan GLAMours ini telah dilaksanakan sebelum ini sempena bulan kemerdekaan Malaysia di Melaka Bandaraya Bersejarah dan di Muzium Negara, Kuala Lumpur. BARATRIO bermaksud Pengembaraan Trio, manakala GLAMours bermaksud Gallery, Library, Archive, Museum yang merujuk kepada Agensi Maklumat; manakala ‘ours’ adalah merujuk kepada hakmilik atau kepunyaan individu itu sendiri.
Objektif pertandingan BARATRIO dan GLAMours ini antaranya untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai kepentingan penggunaan, pengaksesan dan pengetahuan mengenai sumber utama maklumat yang tepat dan sahih daripada agensi maklumat atau sumber yang betul dan tepat, menghayati erti kemerdekaan dan perjuangan generasi terdahulu untuk mempertahankan negara, serta menyemai sifat patriotisme dalam diri setiap warga melalui sesi eskplorasi ke lokasi bersejarah negara.
Faktor keengganan generasi muda untuk mengakses dan membaca sumber yang sahih dan tepat berkaitan sejarah negara amat membimbangkan. Dengan hanya berlandaskan lambakan maklumat yang diperolehi daripada internet tanpa mengetahui kesahihan sumber maklumat; umpama meracun pemikiran dan jiwa anak-anak bangsa.
“Saya tidak meminati sejarah. Tapi.. dengan menyertai pertandingan seperti ini; saya cukup terkesan dengan maklumat yang diperolehi terutama sekali mengenai sejarah perkembangan agama Islam di Tanah Melayu.” Ujar seorang peserta dari Kampus Bukit Besi, Terengganu.
“Selama ini, saya sering mempersendakan masyarakat yang pergi ke Agensi Maklumat seperti Muzium. Bagi saya, sejarah lama, kenapa perlu dikenangkan. Kenapa perlu diungkitkan. Dengan menyertai pertandingan seperti ini, saya seolah tersentak dengan apa yang saya lihat dan alami. Seharusnya sejarah negara, sejarah mana-mana tempat, makanan atau apa sahaja perlu di pelihara sebaiknya.” Peserta dari Shah Alam menyokong usaha IKP memperkenalkan pertandingan seperti ini.
Pertandingan yang dianjurkan seperti ini akan diperluaskan lagi mengikut zon-zon UiTM. Impak kepada penganjuran program pertandingan seperti ini adalah amat positif dan membantu generasi baharu untuk menghayati dan memahami sejarah perjuangan anak bangsa serta dapat melihat artifak berharga daripada zaman Pra Sejarah di tanahair, zaman kesultanan, zaman penjajahan sehinggalah kepada zaman kemajuan Malaysia. Kepentingan di dalam pengaksesan sumber maklumat yang sahih dan lawatan berpandu ke Agensi-Agensi Maklumat seperti di Muzium, Arkib, Galeri dan Perpustakaan seharusnya menjadi agenda utama untuk membentuk jatidiri anak bangsa dan semangat patriotisma dapat diterapkan dalam diri para mahasiswa UiTM. Usaha berterusan melalui program-program sebegini oleh pihak IKP akan dilaksanakan dari masa ke semasa dimasa akan datang.