Dalam usaha berterusan untuk menjaga dan memelihara alam sekitar, kaedah aplikasi bancuhan bokashi semakin mendapat perhatian sebagai alternatif yang baik dalam pengurusan sisa organik. Kaedah ini membolehkan individu dan komuniti menyumbang kepada alam dengan cara yang berkesan, sambil mengurangkan impak negatif ke atas persekitaran. Mengambil kesempatan dari perhatian yang diberikan oleh masyarakat, pihak Pusat Pengajian Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM Puncak Alam pada 8 Ogos 2023 telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan satu sesi demonstrasi bancuhan cecair hasilan proses Bokashi kepada pelajar-pelajar dari Sekolah Kebangsaan Saujana Utama. Program demonstrasi yang dilaksanakan bertemakan “Knowledge Transfer Program (KTP)” merupakan kelanjutan dari pelaksanaan program teknik penyediaan kompos dalam tong Bokashi yang telah berlangsung pada bulan Jun yang lalu.
Bokashi berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud “bahan terfermentasi.” Kaedah bancuhan bokashi melibatkan penggunaan mikroorganisma yang bermanfaat untuk memecahkan bahan organik kepada nutrien yang lebih mudah diserap oleh tanaman. Proses ini melibatkan penggunaan mikroorganisma seperti bakteria asid laktik, ragi, dan kulat untuk menguraikan bahan-bahan organik menjadi bahan yang berguna dalam penanaman tanaman. Larutan bokashi adalah campuran yang terdiri daripada bokashi bran dan air. Campuran ini hasil dari proses fermentasi yang menghasilkan mikroorganisma yang bermanfaat, termasuk bakteria asid laktik dan ragi, yang membantu dalam penguraian bahan organik.
Program demonstrasi ini telah dimulai dengan memberikan penjelasan kepada para pelajar tentang proses pengeraman bahan kompos di dalam bekas tong Bokashi, mulai dari persiapan bahan-bahan hingga kematangan kompos. Penekanan diberikan pada konsep tindakbalas bakteria secara anaerobik yang melibatkan proses kompos tanpa udara dan cahaya matahari di dalam bekas tong bokashi. Selanjutnya, para pelajar diberi kesempatan untuk melakukan pungutan cecair atau “Bokashi tea” sendiri. Cecair yang dikumpulkan perlu dilarutkan dalam air bersih dan bebas klorin, kerana klorin dapat membunuh mikroorganisma yang diperlukan.
Pelajar kemudian diajar cara mencampurkan cecair bokashi yang dikumpulkan tadi dengan air tanpa klorin dalam nisbah 1:100, di mana setiap 1 mililiter cecair bokashi memerlukan 100 mililiter air tanpa klorin. Kaedah pengukuran bacaan air dilakukan dengan betul, dengan perhatian kepada meniskus permukaan air di dalam bekas. Cecair bokashi yang dicampurkan dengan air tanpa klorin dimasukkan ke dalam bekas penyembur yang disediakan oleh pihak penganjur. Pada akhir sesi demonstrasi, pelajar diberi kesempatan untuk menyembur larutan yang telah disediakan ke atas pokok sayuran yang disediakan oleh penganjur. Disarankan agar penyemburan dilakukan tiga hingga empat kali seminggu untuk memastikan nutrien terserap dengan baik oleh tumbuhan. Selama sesi ini, pelajar juga mempelajari tentang pembolehubah mudah dan dimanipulasi, di mana sebahagian pelajar diminta untuk membandingkan pertumbuhan dua anak pokok yang disembur dengan bokashi dan dua anak pokok lainnya yang hanya disiram dengan air sebagai kumpulan kawalan. Pelajar kemudian mengamati perkembangan fizikal pokok selama dua minggu.
Menurut Encik Mohd Izwan Masngut, pengarah program ini, sesi demonstrasi yang dijalankan adalah elemen penting untuk membantu pelajar memahami dengan lebih jelas dan nyata bagaimana aplikasi hasil daripada kaedah kompos Bokashi dijalankan. Beliau menyatakan bahawa kaedah Bokashi sangat sesuai untuk sekolah di bawah projek matapelajaran sains dan juga untuk rumah pelajar, kerana keberkesanan yang tinggi dan kos yang rendah, serta ruang yang diperlukan minima. Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Encik Mohd Fairus Mohammad Yusof, serta barisan guru yang diketuai oleh Guru Besar, Puan Zazaluma Bte Harun turut hadir dalam sesi demonstrasi tersebut. Penganjur berharap inisiatif demonstrasi ini memberikan sumbangan positif kepada masyarakat, khususnya pelajar-pelajar, untuk memahami dan mengamalkan kaedah-kaedah kompos yang berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal domestik secara mampan.