Seri Iskandar, 20 Mei 2024 – International Convention on Creative Industry atau lebih dikenali sebagai PICCI kembali lagi untuk edisi keduanya pada tahun 2024. Konvensyen ini berlangsung selama dua hari dari 18 hingga 19 Mei 2024 bertempat di Dewan Seri Iskandar, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Perak.
PICCI 2024 bertujuan mengumpulkan pemain-pemain industri kreatif dan para usahawan dari peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Para pengunjung berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan pakar dan pemain industri dalam pelbagai sub-bidang kreatif antaranya animasi, multimedia, ilustrasi, fesyen, dan kraf. Acara ini menyediakan platform yang ideal untuk memperluaskan rangkaian dan memperoleh pengetahuan baharu dari pakar industri.
Salah satu acara yang menjadi tumpuan dalam PICCI 2024 adalah Pertandingan Doodle Battle. Pertandingan ini disertai oleh seramai 20 peserta dan berlangsung dari jam 10.00 hingga 11.30 pagi. Progam ini yang dijenamakan dengan nama Fakulti Komik dianjurkan oleh SAKO PLUS dan PICCI 2024 dengan kerjasama Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Uitm Cawangan Perak. Pertandingan ini menyaksikan para peserta menunjukkan kreativiti mereka dalam menghasilkan karya seni doodle.
Pertandingan ini diadili oleh juri-juri profesional dalam bidang lukisan dan doodle bagi memastikan penilaian dilakukan secara adil dan telus. Para peserta bersaing untuk merebut hadiah menarik, di mana pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai sebanyak RM300 beserta hadiah. Tempat kedua menerima RM200 beserta hadiah, manakala tempat ketiga memperoleh RM100 beserta hadiah. Beberapa hadiah saguhati juga disediakan untuk menghargai usaha dan bakat semua peserta.
Program ini adalah inisiatif penting untuk mengembangkan dan mengasah bakat seni doodle yang semakin menjadi trend seni masa kini untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi, baik nasional mahupun antarabangsa. “Pertandingan ini adalah langkah yang baik untuk mengangkat seni doodle dan memberikan peluang kepada para pelukis untuk mempamerkan bakat mereka,” kata En. Ashraf Abdul Rahaman, Ketua Projek PICCI.
PICCI 2024 bukan sahaja berjaya menarik minat ramai dengan pelbagai aktiviti dan pameran tetapi juga membuktikan komitmen UiTM dalam menyokong dan memajukan industri kreatif. Kehadiran pakar dan pemain industri dari seluruh Malaysia, acara ini membuka peluang besar untuk kolaborasi dan inovasi dalam bidang kreatif.