Audit Pensijilan Semula ISO 9001:2015 Peringkat Korporat UiTM

Shah Alam – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) selaku sekretariat bagi Pensijilan ISO 9001:2015 di bawah skop Pengurusan Korporat Universiti Awam telah mengendalikan pelaksanaan Audit Pensijilan Semula, ISO 9001:2015 pada 6 dan 7 Julai 2022. Sesi pengauditan telah dijalankan oleh pihak Lloyd’s Register Quality Assurance (LRQA) yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Ramli Mohd Daud dan dibantu oleh Encik Firdaus Anson dan Puan Lee Yi Yan.

Audit Pensijilan Semula memberi fokus kepada teras perkhidmatan pengajian tinggi yang merupakan aktiviti utama dalam pengoperasian universiti. Antara aspek yang dilihat dan dinilai adalah pengurusan risiko, pengurusan hal ehwal akademik termasuk pengambilan pelajar, pengurusan rekod pelajar dan konvokesyen serta pengurusan pentaksiran dan penilaian akademik. Di samping itu, auditor turut melihat proses pelaksanaan latihan dan kompetensi staf, pengurusan perolehan, penyediaan infrastruktur dan infostruktur, pengurusan projek penyelidikan dan inovasi serta aktiviti jaringan industri, komuniti dan alumni.

Dalam mendokong proses penyampaian perkhidmatan, auditor juga membuat semakan ke atas aktiviti pengurusan rekod dan dokumen, penyelarasan mesyuarat Pengurusan Tertinggi UiTM, pencapaian Pelan Strategik UiTM2025, pengurusan perolehan, komunikasi dan perhubungan antarabangsa. Pihak InQKA juga tidak ketinggalan diaudit bagi proses Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC), pelaksanaan audit dalam dan latihan pengurusan kualiti.

Mesyuarat Pembukaan Audit telah diadakan pada 6 Julai 2022 di Bilik Mesyuarat Sidang, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin dan dihadiri oleh Pengurusan Eksekutif serta ketua-ketua jabatan yang terlibat. YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang mewakili Naib Canselor UiTM telah mempengerusikan mesyuarat dan membentangkan pencapaian semasa UiTM. Status pencapaian objektif kualiti UiTM yang diukur berpandukan kepada sasaran-sasaran strategi yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UiTM 2025 serta menyokong Visi dan Misi UiTM turut dibentangkan.

Aktiviti pengauditan telah berjaya dilaksanakan mengikut pelan yang dirancang. Pihak auditee memberikan kerjasama dan komitmen yang sangat baik dalam memastikan UiTM terus memperkukuh dan mengekalkan sistem pengurusan kualiti berdasarkan standard ISO 9001:2015. Ketua Auditor telah memberikan maklum balas yang sangat positif dan mendapati bahawa UiTM semakin terkehadapan dalam membekalkan perkhidmatan pengajian tinggi. Ini dapat dilihat melalui pencapaian, pengiktirafan dan penarafan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Hasil pengauditan pada kali ini, UiTM telah dianugerahkan pensijilan semula ISO 9001:2015 untuk tempoh tiga (3) tahun.

Wakil Pengurusan UiTM, YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman dalam ucapan penutup pada 7 Julai 2022 merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada semua auditee dan PTJ yang terlibat. Beliau turut menyambut baik penemuan-penemuan audit yang disampaikan oleh pihak auditor.

InQKA di bawah pimpinan YBhg. Prof. Dr. Azizah Abdullah, Penolong Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Audit Pensijilan Semula ISO 9001:2015. InQKA akan berterusan memastikan jaminan terhadap standard sistem pengurusan kualiti UiTM diperkukuhkan dan ditambah baik dari masa ke semasa.