Audit Pematuhan ISO 9001:2015 oleh Lloyd’s Register

Shah Alam – Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) selaku sekretariat bagi Pensijilan ISO 9001:2015 di bawah skop Pengurusan Korporat Universiti Awam telah mengendalikan pelaksanaan Audit Pematuhan 2, ISO 9001:2015 oleh Tuan Haji Mohd Ramli Mohd Daud, auditor daripada Lloyd’s Register secara remote assessment pada 4 dan 5 Februari 2021 yang lalu.  Audit Pematuhan yang dilaksanakan pada kali ini memberi fokus kepada pengurusan latihan, peperiksaan, pengambilan pelajar, pengurusan projek penyelidikan dan inovasi serta penyelarasan mesyuarat Pengurusan Tertinggi UiTM.  Di samping itu, pihak auditor juga melihat pencapaian universiti melalui pembentangan pencapaian objektif kualiti, Pelan Strategik UiTM2025 dan perhubungan antarabangsa.

Mesyuarat Pembukaan Audit pada 4 Februari 2021 telah dilaksanakan secara dalam talian bersama 50 orang wakil PTJ yang terlibat secara langsung dalam penyampaian perkhidmatan universiti.  YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM telah membentangkan profil terkini UiTM dan lonjakan pencapaian utama universiti sepanjang tahun 2020.  Di samping itu, YBhg. Prof. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) merangkap Wakil Pengurusan UiTM turut membentangkan laporan objektif kualiti UiTM, pelaksanaan Audit Dalam Korporat, Penilaian Luar Integrated Quality Management System (iQMS) dan Kecemerlangan Operasi.

Remote assessment yang dilaksanakan oleh pihak auditor terhadap pematuhan kepada standard ISO 9001:2015 telah berjaya dilaksanakan mengikut pelan yang dirancang.  Dalam kekangan menghadapi situasi semasa, kesediaan auditee dan penyediaan dokumentasi yang proaktif menjadi tonggak utama dalam memastikan kelancaran aktiviti audit. Pihak auditor mendapati bahawa koordinasi mesyuarat yang berkesan memperlihatkan komitmen yang tinggi daripada pihak Pengurusan UiTM di setiap peringkat tadbir urus.  Selain itu, Perancangan Strategik yang terkehadapan dan memacu kecemerlangan universiti telah disemak melalui latihan dan keberkesanan latihan yang dibekalkan oleh universiti.

Naib Canselor UiTM, dalam ucapan penutup pada 5 Februari 2021 telah merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua auditee dan PTJ yang terlibat.  Penemuan audit yang cemerlang memberi makna nilai dasar organisasi iaitu Excellence, Synergy dan Integrity (ESI) diamalkan oleh segenap lapisan warga universiti.  Beliau turut menyambut baik penemuan-penemuan audit yang disampaikan oleh pihak auditor dan berharap agar penemuan audit ini akan menjadi panduan kepada warga UiTM agar terus mengorak langkah ke hadapan dalam menjayakan Pelan Strategik UiTM2025.

Pihak InQKA di bawah pimpinan YBhg. Prof. Datin Dr. Suzana Sulaiman, Penolong Naib Canselor turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan Audit Pematuhan 2, ISO 9001:2015.  Pihak InQKA akan berterusan memastikan jaminan terhadap standard sistem pengurusan kualiti UiTM diperkukuhkan dari masa ke semasa.