Audit Pematuhan Etika: Langkah Akademi Pengajian Bahasa Ke Arah Kecemerlangan

SHAH ALAM, November 2024 – Akademi Pengajian Bahasa (APB) telah menerima kunjungan pasukan juruaudit untuk Audit Pematuhan Etika yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 11 dan 12 November 2024. Audit ini merupakan langkah penting dalam memastikan budaya integriti, etika kerja, dan profesionalisme terus diterapkan dalam setiap aspek operasi APB. Mesyuarat pembukaan audit telah diadakan pada 11 November 2024 di Auditorium APB dan dihadiri oleh pensyarah, staf pentadbiran, serta pengurusan tertinggi APB. Audit ini dikendalikan oleh dua auditor berpengalaman, iaitu Puan Intan Zuriaty Mujirimi, Pegawai Teknologi Maklumat Kanan dari Jabatan Digital, dan Puan Zuraini Mohamed Idris, Penolong Pendaftar Kanan dari Institut Pengajian Siswazah (IPSIS).

Sesi audit ini bertujuan untuk menilai tahap pematuhan etika kerja di APB, memastikan operasi akademik dan pentadbiran mematuhi garis panduan serta dasar yang ditetapkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan mengukuhkan amalan tadbir urus berintegriti dalam usaha mencapai misi UiTM untuk melahirkan graduan yang cemerlang, beretika, dan berdaya saing. Audit ini juga sejajar dengan aspirasi UiTM yang termaktub dalam Pelan Strategik UiTM 2025 untuk memperkukuh tadbir urus yang baik dan pengurusan berintegriti.

Selain itu, audit ini menjadi platform penting untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses kerja dan operasi akademik di APB. Pihak pengurusan APB merakamkan penghargaan kepada semua staf atas kerjasama penuh yang diberikan sepanjang sesi audit ini. Hasil daripada audit ini diharapkan dapat memperbaiki sistem kerja, meningkatkan keberkesanan operasi, serta memperkasa budaya integriti dalam kalangan warga APB. Dengan komitmen ini, APB berusaha untuk menjadi pusat pengajian yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga unggul dalam etika dan profesionalisme, sekaligus mendukung misi UiTM untuk melahirkan graduan yang berintegriti tinggi dalam menghadapi cabaran dunia profesional.

Penulis: Haslinda Md Isa