Tapah, 18 September 2024 – Persidangan ‘Applied Sciences Research and Innovation Conference’ yang ke-3 (ASRIC2024) telah diadakan dengan penuh gemilang secara atas talian anjuran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak. Persidangan tahunan ini yang bertemakan ‘Navigating Global Challenges the Applied Sciences Solution for sustainable future’ telah menjadi satu platform yang telah berjaya menghimpunkan saintis, ahli akademik, penyelidik, sarjana, pelajar pascasiswazah, dan pemain industri terkemuka dalam usaha memperkasakan penyelidikan sains gunaan.
Meneruskan kejayaan penganjuran pada tahun-tahun sebelumnya, ASRIC2024 bertujuan menjadi ruang bagi komuniti akademik dan profesional untuk bertukar pandangan serta menyebarkan penemuan-penemuan penyelidikan terkini dalam bidang sains gunaan. Persidangan ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk menjalin kerjasama strategik serta memperluaskan rangkaian profesional dalam kalangan ahli akademik dan industri, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Memetik ucapan aluan dari Rektor UiTM Perak, tema persidangan tahun ini menekankan keperluan mendesak masa kini. Barisan pembentang yang berwibawa adalah menjadi sumbangan penting dalam kemajuan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan masyarakat.
Seramai 28 pembentang secara oral dan 5 orang secara poster telah membentangkan hasil kajian masing-masing melalui platform maya di samping dapat menjalinkan kerjasama yang kuat, menggalakkan rangkaian hubungan yang melangkaui sempadan secara interdisiplin. Walaupun berdepan cabaran, usaha kolektif diharapkan dapat membina masa depan yang cerah, berpandukan pendidikan, penyelidikan terkini, dan projek-projek berimpak untuk menangani kerumitan abad ke-21.
Penganjuran ASRIC2024 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai acara penting dalam kalendar penyelidikan sains gunaan, dengan penyertaan daripada pelbagai latar belakang yang menyumbang kepada perkembangan inovasi dan kemajuan dalam bidang ini.