ASEAN Volunteerism Project Melibatkan Industri, Alumni Dan Komuniti Dalam Membantu Masyarakat Setempat Malaysia Dan Thailand

Shah Alam, 18 September 2024 – ASEAN Volunteerism Project: A Nurture Nation yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Kolej Meranti dan Seroja UiTM Shah Alam dengan kerjasama Surau Al- Ansor Seksyen 2 Shah Alam serta sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM, khususnya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, telah berjaya dilaksanakan di Malaysia dan Thailand. Program ini berfokus kepada pembangunan komuniti, khususnya anak-anak yatim, dengan melibatkan kerjasama erat antara komuniti, industri, dan alumni, memberikan impak positif kepada kedua-dua negara. Objektif ini adalah selaras dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan hasrat Kerajaan Malaysia Madani dalam memperkasakan mahasiswa bermutu tinggi.

Di Malaysia, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Perlis (PKAYP) menjadi tumpuan program di mana Mini Library telah ditubuhkan untuk memberi akses kepada bahan bacaan dan meningkatkan lagi tahap pendidikan anak-anak yatim. Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM menyumbangkan buku-buku yang akan dimanfaatkan oleh anak-anak yatim bagi memperkukuh literasi dan pembelajaran mereka. Program ini telah memperlihatkan penglibatan erat antara institusi pendidikan dan komuniti tempatan dalam usaha memajukan kesejahteraan pendidikan.

Di Thailand, penglibatan sukarelawan di Masjid Ban Nuea, Songkhla turut memberi manfaat besar kepada komuniti setempat. Sukarelawan juga terlibat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar melalui pelepasan anak ketam di Pantai Samilla. Aktiviti ini, yang dilaksanakan dengan kerjasama Rajamangala University of Technology Srivijaya dan Southern Gulf Fisheries Research and Development Center (Songkhla), bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ekosistem laut dan memberi manfaat kepada komuniti nelayan tempatan. “Inisiatif ini merupakan usaha penting dalam memulihkan ekosistem laut tempatan yang kini berdepan dengan defisit populasi anak ketam yang turut menjurus kepada pemanasan global” ujar Wirote Kongongsa, penasihat Southern Gulf Fisheries Research and Development Center.

Program Boxes of Hope yang dijalankan di Thailand disokong oleh syarikat Adabi Consumer melalui pengagihan barangan keperluan asas produk Adabi diberikan kepada golongan asnaf, anak-anak yatim, dan warga emas di sekitar Masjid Ban Nuea. Ini membantu meringankan beban komuniti setempat dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.

Penglibatan industri dan alumni UiTM turut memainkan peranan besar dalam menjayakan program ini. Kidz Studios Printing, milik alumni UiTM, telah menaja pakaian rasmi untuk sukarelawan memastikan keseragaman dan semangat kebersamaan dalam kalangan peserta. Sumbangan daripada Dr. Azri’s Perfume dalam bentuk barangan untuk perpustakaan mini seperti rak buku, tikar, dan kertas dinding, turut melengkapkan Mini Library di PKAYP dan Sekolah Masjid Ban Nuea, mewujudkan ruang pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.

Sokongan tambahan daripada Yayasan Perkasa Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan syarikat Al-Ikhsan memperkukuh lagi keberkesanan program ini. Wakil CSR daripada Al- Ikhsan juga hadir di PKAYP untuk berkongsi ceramah motivasi kepada anak-anak yatim, memberikan inspirasi dan dorongan untuk menghadapi cabaran hidup dan mencapai kejayaan.