Artikel dari Mohd Ali Muhamad Don : Usah diminta layanan istimewa di Tanah Suci

PANGGILAN untuk menunaikan fardu haji kini kembali lagi. Tetamu Allah dari seluruh dunia bersiap sedia untuk memulakan pengembaraan ke tanah suci. Berdasarkan kuota yang ditetapkan oleh pihak Arab Saudi, kira-kira 30,200 orang rakyat Malaysia akan menunaikan fardu haji tahun ini dengan penerbangan pertama dijadualkan esok.

Tabung Haji (TH) juga dilaporkan sudah bersedia menerima kehadiran jemaah haji Malaysia demi memastikan semua dapat menunaikan fardu haji dengan sempurna. Ini termasuklah persiapan dari segi pengangkutan jemaah, hotel penginapan, makanan, kesihatan dan keperluan ibadah di tanah suci.

Sehubungan dengan itu, kelompok pertama jemaah haji yang akan mula memasuki kota suci Madinah dinasihatkan tidak melepaskan peluang untuk banyak beriktikaf di Masjid al-Nabawi, selain mengambil iktibar daripada aktiviti ziarah di kawasan sekitar.

Menjaga adab

Lebih daripada itu jemaah perlu sentiasa menjaga adab ketika berada di samping Nabi SAW, bagi memelihara kemuliaan dan kesuciannya. Usah terkesima dengan kedamaian dan keramahan penduduk setempat sehingga solat berjemaah diabaikan dan tujuan utama ke Tanah Suci dikesampingkan.

Selain itu, dijanjikan pula dengan pahala beribadah dalam Masjid Nabi SAW sebanyak 1,000 kali ganda berbanding masjid yang lain. Mereka yang dapat memelihara solat lima waktu berjemaah selama 40 waktu dijanjikan dengan kemuliaan yang lain.

Dalam riwayat disebutkan “Barangsiapa yang solat di masjidku (masjid Nabawi) 40 kali solat (40 waktu) dalam keadaan dia tidak pernah terlepas walaupun satu solat (waktu) pun, akan ditulis baginya keselamatan daripada api neraka, pelepasan daripada azab dan terselamat daripada sifat munafik” (Riwayat Ahmad & al-Thabarani)

Renungkan juga betapa di situ Nabi SAW membina kehidupan bernegara dan membentuk kesatuan ummah yang didirikan atas dasar takwa. Baginda juga mengasaskan prinsip hidup bermasyarakat, selain difardukan kewajipan agama yang utama seperti solat, puasa dan zakat yang mempunyai hikmah dan keunikan tersendiri.

Yang lebih utama ketika di Madinah, jemaah diingatkan supaya banyak berselawat atas Nabi SAW dan berdoa semoga tergolong dalam kalangan yang mendapat syafaat al-kubra pada hari kiamat.

Bagi jemaah haji yang terus memasuki Makkah atau melalui miqat di Bir Ali dari Madinah, diingatkan agar tidak terkena kejutan budaya dengan suasana dan persekitaran yang berbeza di Makkah.

Persiapan fizikal, mental

Untuk itu persiapan dari sudut fizikal dan mental diperlukan untuk melalui tempoh sebelum wukuf kerana biasanya jemaah semakin ramai dan terpaksa bersesak-sesak untuk menyelesaikan umrah bagi yang berniat haji tamattuk.

Selain itu semasa di Makkah, usah terleka daripada solat berjemaah dan melaksanakan amalan kebajikan yang pahalanya dilipatgandakan sehingga 100,000 kali. Usah pula terbabit mencemarkan kesucian Tanah Haram dengan perkara keji dan terkutuk.

Boleh jadi terpalit dosa yang dilipatgandakan seksa dan balasannya. Elakkan dari membuang masa dengan bersembang, ‘mengeteh’ ataupun merayau-rayau dan membeli belah sepanjang masa kerana kemungkinan menggagalkan cita-cita beroleh haji mabrur.

Sementara menunggu hari wukuf jemaah haji boleh mengambil peluang untuk menunaikan umrah lagi, mengikut kemampuan dan kesihatan masing-masing. Bagaimanapun jangan terlalu teruja untuk melakukan segala amalan kebajikan kerana ibadah haji yang sebenar belum lagi bermula.

Yang berniat haji ifrad dinasihat berjihad menjaga pantang larang ihram agar tidak dikenakan dam dan kemungkinan gagal beroleh ganjaran haji yang sempurna.

Lebih daripada itu, jauhkan diri daripada berkelahi ataupun saling mencaci hanya dengan sebab yang remeh seperti berebut-rebut menaiki lif. Usah diharapkan layanan lima bintang di tanah suci dengan harapan semuanya sempurna dan tersedia.

Lebih buruk lagi apabila yang diharapkan tidak seberapa, petugas TH pula menjadi mangsa makian dan cacian. Terdapat juga yang bermasalah dengan rakan sebilik, malah kadang-kadang di antara suami dan isteri atau dengan jemaah haji lain.

Justeru itu, banyakkan bersabar dan berusaha untuk menjaga lidah dan seluruh pancaindera sambil berharap dapat mengharungi ujian dan cabaran yang mendatang. Ingatlah betapa iman dan kedudukan mukmin di sisi Allah tidak meningkat kecuali setelah diuji dengan bermacam-macam ujian yang pasti ada kemanisan di penghujungnya.

Menjelang 9 Zulhijjah, tetamu dinasihatkan agar mengikhlaskan niat memulakan ibadah haji kerana Allah sambil berharap agar dipelihara daripada musibah semasa di al-Masya’ir.

Ambillah peluang keemasan ketika di bumi Arafah untuk bermunajat dan berdoa dengan bersungguh-sungguh kerana tidak ada hari yang paling banyak diampunkan dosa dan diperkenankan doa melainkan pada hari Arafah.

Ini disebabkan terdapat yang tidak mengambil peduli sehingga ada yang tidur seharian dan hanya menghabiskan masa berbual-bual sesama sendiri.

Ketika mabit di Muzdalifah hingga separuh malam dan mengutip anak batu untuk melontar Jamrah al-Kubra pada 10 Zulhijjah, dan melontar ketiga-tiga jamrah pada hari Tasyrik, umat Islam diingatkan supaya tidak leka.

Banyakkan berdoa, selain bersabar menanti untuk dibawa ke Mina secara berperingkat-peringkat. Usah berebut-rebut dan bertolak-tolak. Sebaik-baiknya, dahulukan warga emas dan golongan yang tak berdaya untuk menaiki bas sebagai tanda bertimbang rasa yang dituntut agama.

Mabit di Mina

Semasa mabit di Mina pula, hayati falsafah di sebalik suruhan melontar jamrah yang secara simbolik menandakan kebencian dan penolakan terhadap segala pujuk rayu iblis dan sekutunya. Elakkan hanya berseronok dan berehat-rehat sepanjang tiga hari di bumi Mina.

Teruskan usaha untuk solat secara berjemaah, qiamullail, berzikir sambil memuhasabah atas kekurangan diri. Usah dijadikan alasan khemah yang sempit dan kemudahan asas seperti tandas yang terhad untuk tidak melakukan amal ibadah, sebaliknya hanya merayau-rayau di sekitar kawasan perkhemahan.

Ini disebabkan, ketika di Mina terdapat juga kuliah dan majlis ilmu yang diaturkan oleh TH mahupun agensi yang dilantik oleh TH, sementara menunggu masa yang terbaik untuk melontar pada hari Tasyrik, agar tidak bersesak-sesak dan kemungkinan mengundang kecelakaan.

Nikmat syurga

Setelah selesai berwukuf dan kembali ke Makkah, sekali lagi tetamu diingatkan supaya tidak leka sementara menunggu jadual penerbangan pulang ke tanah air. Kemungkinan inilah kali terakhir terpilih ke tanah suci sehingga segala masa dan kesempatan yang ada sebaiknya digunakan untuk beribadah semaksimum mungkin.

Usah menjadi lemah dan longlai setelah bergelar haji dan hajah kerana gelaran itu bukanlah segala-galanya. Yang lebih utama ialah bagaimana seseorang mampu merealisasikan pendidikan Makkah selepas kembali ke tanah air.

Dalam riwayat disebutkan “Barangsiapa menunaikan haji kerana Allah kemudian tidak melakukan kemungkaran dan kefasikan dia kembali (ke tanah air) seperti hari dia baharu dilahirkan oleh ibunya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Malah, dikatakan antara tanda beroleh haji yang mabrur ialah seseorang meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan, menggantikan kawan yang tidak elok dengan kawan yang baik serta meninggalkan majlis yang tidak berfaedah dan menghadiri majlis yang bermanfaat.

Perlu juga diingat perbelanjaan ke tanah suci daripada sumber yang halal, niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah. Apa saja yang dilakukan semasa di tanah suci turut memberi kesan sama ada seseorang beroleh ganjaran haji mabrur yang balasannya ialah nikmat syurga Ilahi.

Dr. Mohd. Ali Muhamad Don

 

Oleh:
Dr Mohd Ali Muhamad Don
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari,
UiTM Pasir Gudang, Johor

0
0