Artikel dari Mohd Ali Muhamad Don : Faham, cakna kedudukan undang-undang keluarga Islam

PERKAHWINAN bawah umur bukanlah isu baharu di Malaysia dengan cadangan supaya ditetapkan umur perkahwinan juga pernah diutarakan, malah pakar perundangan Islam di Malaysia yang arif lagi bijaksana juga sedang dan terus berusaha sedaya upaya untuk menangani isu ini.

Justeru, penulis tidak berhasrat menjadi jaguh dan menunjuk pandai, sekadar memberi maklumat umum agar pembaca cakna dan faham kedudukan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.

Tambahan lagi, kes yang viral membabitkan perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun warga Thailand sudah dirujuk ke Mahkamah Syariah Kelantan.

Berdasarkan pembacaan, ada beberapa kes perkahwinan bawah umur yang menarik untuk dikongsi, antaranya di Kedah pada 2012 membabitkan perkahwinan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan pasangannya berusia 20 tahun.

Pada 2014, berlangsung perkahwinan seorang pelajar Tingkatan Lima dengan teman lelakinya yang baru berusia 15 tahun. Selain itu, perkahwinan seorang pemuda berusia 21 tahun dengan gadis berusia 15 tahun di Melaka.

Semua perkahwinan ini mendapat persetujuan wali dengan kebenaran mahkamah.

Suara membantah perkahwinan bawah umur juga sudah kedengaran sebelum ini. Pada 2014, seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan menetapkan had umur minimum bagi mengekang perkahwinan kanak-kanak.

Antara alasan dikemukakan ialah kanak-kanak itu terpaksa menamatkan persekolahan, selain perceraian dan kes kematian pasangan yang memberi kesan emosi kepada pasangan muda.

Ada juga tuntutan oleh ‘Joint Action Group for Gender Equality‘ yang membawa kepada penubuhan Majlis Perlindungan Bagi Kanak-Kanak di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat pada 2015 menangani isu perkahwinan bawah umur.

Antara dicadangkan ialah pasangan yang hendak berkahwin disyarat menyediakan laporan kesihatan doktor perubatan dan laporan sosial oleh pakar psikologi kanak-kanak.

Umur minimum

Berdasarkan undang-undang keluarga Islam negeri di Malaysia, umur minimum perkahwinan bagi lelaki 18 tahun, manakala wanita ialah 16 tahun. Penetapan ini berdasarkan prinsip ‘siyasah syariah’ (undang-undang pentadbiran Islam) bagi menjaga kepentingan pihak yang berkahwin.

Ia juga melindungi gadis bawah umur yang boleh dinikahkan wali mujbir menurut Mazhab Syafie dengan syarat tertentu. Tujuan peruntukan ini juga bagi memastikan bakal pengantin mencapai peringkat matang untuk memikul tanggungjawab rumah tangga dari segi psikologi dan fizikal.

Johor negeri terawal menetapkan umur minimum untuk berkahwin. Ini boleh dirujuk kepada Fasal 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Ia memperuntukkan tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki berumur kurang 18 tahun atau perempuan berumur kurang 16 tahun, kecuali jika hakim syarie memberi kebenarannya secara bertulis.

Malah, perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran mahkamah di Johor dianggap salah, walaupun sah di sisi syarak apabila memenuhi semua rukun dan syarat pernikahan ditetapkan.

Fasal 40 mengenai kesalahan berhubung akad nikah perkahwinan, memperuntukkan seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu berupa mengakadnikahkan atau menjalankan upacara perkahwinan tanpa kebenaran berkahwin, seperti dikehendaki Seksyen 19 atau di depan, selain di depan sekurang-kurangnya dua saksi boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu, adalah melakukan kesalahan.

Mereka yang disabitkan bersalah hendaklah dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Diperuntukkan juga, seseorang yang berkahwin atau berbuat sesuatu yang sebagai akad nikah atau yang menjalani sesuatu cara akad nikah dengan sesiapa juga berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II, adalah melakukan kesalahan dan hendaklah didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Peruntukan sama turut dikanunkan di negeri lain, walaupun ada perbezaan dari segi penalti yang ditetapkan, iaitu antara RM300 hingga RM1,000.

Bagi golongan bukan Islam, ditetapkan umur minimum berkahwin bagi lelaki dan wanita pada 18 tahun dan memberi kuasa kepada ketua menteri untuk membenarkan perkahwinan wanita berumur 16 tahun.

Ini dirujuk kepada Seksyen 10 Akta 164, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 yang dibaca bersama Seksyen 21 (2) akta sama.

Mengikut syarak pula, perkahwinan bawah umur tidak dilarang asalkan mencapai umur baligh. Golongan yang bersetuju dengan pendapat ini merujuk perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Siti Aisyah ketika beliau berumur tujuh tahun.

Siti Aisyah menyebut, Rasulullah SAW menikahi aku ketika berusia tujuh tahun dan memasuki kediamanku ketika aku berusia sembilan tahun. (Riwayat Bukhari)

Pengkhususan buat Nabi SAW

Ada juga ulama berpendapat ia suatu pengkhususan buat Nabi SAW dan bukan pada umatnya, namun apabila diteliti, didapati Siti Aisyah pada ketika itu sudah mencapai tahap kecerdikan dan kematangan untuk berkahwin.

Menurut Prof Ahmad Ibrahim, kepakaran Siti Aisyah mengenai al-Quran dan hadis diriwayatkan Nabi SAW jelas menunjukkan beliau sudah dewasa, walaupun baru berusia sembilan tahun, malah Siti Aisyah juga antara yang pertama memeluk Islam dan menyaksikan Perang Badar serta Uhud di Madinah.

Sesuatu yang perlu difahami, perkahwinan dalam Islam ialah ibadat dan sunah Rasulullah SAW, bukan sekadar memenuhi kehendak hawa nafsu sehingga mana-mana pasangan bebas berkahwin dan berpisah sesuka hati.

Antara lain, tujuan pernikahan dalam Islam untuk menjaga diri daripada terjerumus ke belenggu dosa dan zina, selain menyahut seruan Nabi SAW untuk memperbanyakkan zuriat dan keturunan.

Hubungan bebas tanpa pernikahan sah dikhuatiri menyumbang pula kepada jenayah buang bayi yang tidak berkesudahan.

Justeru, syariat Islam tidak menetapkan umur minimum berkahwin, asalkan ia berlangsung mengikut hukum syarak dan memberi keadilan kepada kedua-dua pihak yang bernikah.

Sungguhpun begitu, kebenaran Mahkamah Syariah perlu dimohon sebelum perkahwinan bawah umur dilangsungkan. Ia bermakna kebenaran perkahwinan di Malaysia tertakluk di bawah budi bicara Mahkamah Syariah yang berpuas hati dengan permohonan yang dikemukakan.

Perlu juga diketahui, tidak semua perkahwinan bawah umur mendapat kebenaran mahkamah seperti kes Re Husseinah Banoo. Ia membabitkan kes kahwin lari seorang gadis berusia 14 tahun dan dibantah bapanya yang kemudian dibenarkan mahkamah untuk pembatalan perkahwinan.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang ingin melangsungkan perkahwinan di Malaysia, dinasihatkan agar tidak membelakangkan undang-undang demi maslahat bersama.

Ia bagi memastikan perkahwinan mencapai matlamat mewujudkan rumah tangga dihiasi nilai positif ‘sakinah’, ‘mawaddah’ dan ‘rahmah’.

Ia juga demi menjamin institusi perkahwinan dalam Islam tidak dicemuh dan diejek sehingga mencemarkan imej agama yang mulia lagi tinggi kedudukannya.

Dr Mohd Ali Mohamad Don

 

Oleh:
Dr Mohd Ali Muhamad Don
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang

 

 

 

Sumber: https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/07/445256/faham-cakna-kedudukan-undang-undang-keluarga-islam

0
0